






Oleh: Sholina Osman
2 JUN 2025
Pasukan ‘Majlis Bandaraya Diraja Klang Royal Town Warriors (MBDK RTW)’ muncul juara Kejohanan Ragbi Takaful Ikhlas Diraja Perlis Terbuka 7 Sepasukan (Perlis Royal 7s) 2025 selepas menewaskan pasukan ‘Malaysian University’ dengan keputusan 22-19 dalam perlawanan akhir kategori terbuka yang berlangsung penuh sengit di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyaksikan perlawanan akhir dan seterusnya menyempurnakan majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Presiden Persatuan Ragbi Perlis (PRP), Syed Hazrain Syed Razlan Jamalullail, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Takaful Ikhlas General Berhad, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin.
PERSATUAN RAGBI PERLIS
Kejohanan ini dianjurkan oleh Persatuan Ragbi Perlis dengan kerjasama Kerajaan Negeri serta penaja utama iaitu Takaful Ikhlas.
Tiga kategori dipertandingkan yang melibatkan Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, dan Lelaki Bawah 20 Tahun, yang disertai 30 pasukan sepanjang dua hari pertandingan bermula iaitu 31 Mei hingga 1 Jun 2025, dengan jumlah keseluruhan hadiah sebanyak RM30,000.
Dalam kategori wanita terbuka, ‘Bunga Raya Ladies’ dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan ‘Perlis Border Girls’ dengan keputusan 17-0 dan penyampaian hadiah bagi ketegori tersebut telah disempurnakan oleh Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah.
BAGI KATEGORI LELAKI
Sementara itu, bagi kategori Lelaki Bawah 20 Tahun, kemenangan berpihak kepada Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) yang berjaya menundukkan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dengan skor 24-12.
Majlis turut diserikan dengan simbolik perasmian Perlis Royal 7s oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra, disaksikan oleh para tetamu dan hadirin.
Penganjuran kejohanan ini merupakan salah satu acara berprestij sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan dan Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, selain menjadi antara tarikan dalam kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang disambung sehingga penghujung tahun hadapan sebagai kesinambungan kepada promosi Tahun Melawat Malaysia 2026. – JM