






Oleh: Sholina Osman
2 JUN 2025
Hampir 1,500 pemilik dan peminat kenderaan jenama Perodua membanjiri pekarangan utama, Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar sempena ‘Himpunan Perlis Perodua Day 2025’ yang berlangsung selama empat hari (29 Mei hingga 1 Jun 2025).
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan meluangkan masa berangkat ke program tersebut.
Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan sepanjang himpunan ini, antaranya Perodua Auto Show, persembahan pentas oleh artis dan pempengaruh tempatan, pesta jualan makanan dan minuman, Rumah Hantu Soopa Doopa, petting zoo, kaunter bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), serta program derma darah.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengadakan lawatan ke sekitar kawasan acara dan meninjau dengan lebih dekat beberapa kenderaan Perodua yang telah diubah suai dengan penuh kreativiti oleh para pemilik, menampilkan aksesori serta reka bentuk yang unik dan luar biasa. – JM