Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran

Petikan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
2 JUN 2025

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda bagi Tahun 2025 di Istana Negara, hari ini (2 Jun).

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua di Peterana Diraja disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima hormat Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

PANCARAGAM PUSAT RAMD

Serentak dengan itu lagu Negaraku dimainkan Pancaragam Pusat RAMD dan Panji Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dikibarkan diikuti 21 das tembakan meriam dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (RAD).

Seri Paduka Baginda kemudiannya berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dan menerima Hormat Diraja sebelum lagu Negaraku berkumandang.

Seri Paduka Baginda kemudiannya berangkat meninggalkan Pentarana Diraja bagi meneruskan atur cara Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Balairung Seri.

SAMBUTAN ULANG TAHUN

Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda pada tahun ini, seramai 116 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan.

Seramai dua individu dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (P.M.N) yang membawa gelaran Tan Sri. Tiga penerima Darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M) yang juga membawa gelaran Tan Sri dan enam penerima Panglima Jasa Negara (P.J.N) yang membawa gelaran Datuk.

Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Johar Mangku Negara (J.M.N), Johan Setia Mahkota (J.S.M), Johan Setia Diraja (J.S.D), Kesatria Mangku Negara (K.M.N), Kesatria Setia Diraja (K.S.D), Ahli Mangku Negara (A.M.N), Pingat Pangkuan Negara (P.P.N) dan Pingat Bentara Setia Diraja (B.S.D) kepada 105 penerima. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *