Agong bakal ketuai Kembara Diraja Bertemu Rakyat

Petikan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
2 JUN 2025

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah bakal mengadakan Kembara Diraja ke seluruh Wilayah Persekutuan bagi bertemu rakyat dan menyalurkan bantuan kepada fakir miskin.

“Selepas ini saya akan mengadakan Kembara Diraja ke seluruh Wilayah Persekutuan untuk melihat sendiri kehidupan rakyat dan mengagihkan duit zakat kepada orang miskin dan asnaf yang lapan,” titah Sultan Ibrahim.

Hasrat Seri Paduka Baginda itu dizahirkan semasa titah ucapan sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Bagi Tahun 2025 di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini (2 Jun).

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

YANG LEBIH ISTIMEWA

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah tiada hadiah yang lebih istimewa buat Baginda selain daripada rakyat yang bersatu padu.

“Saya pernah sebutkan dulu ada satu virus yang akan melanda negara kita, sekarang kita nampak virus ini telah mula menular dan tidak boleh diubati. Awak fikirlah apa virusnya.

“Saya sering mengingatkan perkara ini supaya kita tidak mudah lupa. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua rakyat jelata, berikanlah saya hadiah perpaduan yang kukuh dan berkekalan,” titah Seri Paduka Baginda.

SUPAYA MENJAGA PERPADUAN

Sultan Ibrahim juga bertitah mengingatkan pemimpin masyarakat supaya menjaga perpaduan dan kestabilan negara.

“Suka saya ingatkan kepada para pemimpin masyarakat supaya tidak bermain politik atas isu sensitif, yang akan menimbulkan perbalahan dalam masyarakat dan menggugat kestabilan negara.

“Begitu juga apabila wujud lagi banyak parti politik atau kem dalam parti, maka rakyat akan lebih berpecah belah dan benci-membenci di antara satu sama lain. Gunakanlah akal sebelum membuat sebarang keputusan,” titah Seri Paduka Baginda. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *