Agong menegaskan darjah, bintang dan pingat persekutuan tidak boleh dijual beli

Petikan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
2 JUN 2025

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bertitah menegaskan Baginda tidak akan melayan mana-mana pihak yang cuba melobi untuk mendapatkan darjah, bintang dan pingat Persekutuan.

Seri Paduka Baginda, bertitah hanya individu yang sudah lama berkhidmat dan berjasa kepada kerajaan atau yang telah mengharumkan nama negara wajar untuk diperkenankan.

“Walaupun kerajaan menggariskan syarat-syarat yang layak untuk dipertimbangkan, saya juga akan menilai semula setiap calon yang dicadangkan.

“Memang pada setiap tahun tidak banyak yang melepasi syarat berkenaan. Walaupun ada pihak yang melobi, saya tidak akan layan.

BUATLAH AMAL JARIAH

“Pangkat Datuk dan Tan Sri bukan untuk dibeli. Kalau ada yang banyak sangat duit, buatlah amal jariah dengan bantu orang miskin yang memerlukan,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Istiadat Mengadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Bagi Tahun 2025 di Istana Negara, pada hari ini (2 Jun).

Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Seri Paduka Baginda, bertitah para penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan patut menghargai dan berbangga dengan anugerah yang dikurniakan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *