





1 JUN 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025—edisi ke-42— di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Anwar dalam ucapannya berkata, PBAKL terus menjadi nadi kepada budaya membaca, medan mempertemukan pemikir, penulis, dan pencinta ilmu dari seluruh negara.
“Saya tegaskan bahawa amalan membaca harus disematkan dalam jiwa setiap rakyat,” katanya.
MELONJAK KE DEPAN
Beliau berkata, tiada siapa akan melonjak ke depan tanpa penguasaan ilmu yang menyeluruh, dan ini hanya boleh dijayakan dengan menghidup serta menggerakkan budaya membaca yang mekar dan berterusan dalam masyarakat.
“Kerana guru merupakan agen terawal yang membentuk kecintaan terhadap ilmu di dalam bilik darjah, saya turut mengumumkan pemberian baucar buku kepada semua guru sekolah di seluruh negara pada tahun ini,” katanya.
Jelas beliau, peranan guru sebagai pencetus minat membaca dalam kalangan murid amat penting dan perlu terus didukung.
MERASMIKAN PODCAST TELAAH
Di majlis yang sama, beliau juga merasmikan Podcast Telaah dan berkongsi ulasan terhadap empat buah karya penting yang menyentuh perjalanan bangsa, warisan peradaban Melayu-Islam serta pemikiran tokoh-tokoh besar seperti Za’ba, Ungku A. Aziz, Dr. Siddiq Fadzil dan Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Perdana Menteri turut meluncurkan beberapa buah buku terbitan terkini, serta mengunjungi ruang pameran Perbadanan Kota Buku dan Pavilion Al-Falah.
Beliau juga melawat reruai penerbit tempatan seperti Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Karangkraf, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Pavilion Selangor.
Perdana Menteri berkata, ini sebagai bukti nyata bahawa dunia penerbitan negara ini tetap kekal rancak dan subur dengan pemikiran tuntas dan bernas. – JM