Kestabilan sistem politik prasyarat kejayaan tadbir urus peringkat Persekutuan, Negeri – PMX

31 MEI 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kestabilan sistem politik, kejelasan dasar terutamanya dasar ekonomi serta kecekapan pelaksanaan adalah prasyarat utama yang perlu ada untuk memastikan kejayaan tadbir urus, sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun kata beliau kejayaan itu tidak akan lengkap tanpa penglibatan aktif generasi muda dan anak tempatan, termasuk dari Sabah.

“Mereka perlu dilibatkan secara langsung dalam pembangunan agar dasar dan projek yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta dilaksanakan secara berkesan,” katanya dalam hantaran di FB.

ESTEEL FASA SATU

Berucap semasa Majlis Pelancaran Fasa Pertama Projek Esteel Fasa Satu bernilai RM6.4 bilion di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.

Projek tiga fasa bernilai RM31 bilion itu yang dibangunkan oleh Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) memberi prospek baik kepada Sabah ketika negeri itu semakin menggerakkan usahanya untuk meneroka bidang baharu bagi merealisasikan potensi penuhnya.

“Saya turut menekankan kepentingan pendedahan awal dan latihan kemahiran yang sesuai kepada tenaga kerja baharu, agar mereka dapat kembali menyumbang sebagai individu yang berkebolehan dan berdaya saing dalam kapasiti pekerjaan masing-masing,” katanya.

Anwar berkata, kejayaan Malaysia dalam menarik pelaburan serta membina kerjasama strategik tidak datang daripada retorik semata-mata, tetapi melalui dasar yang jelas, pentadbiran yang telus, serta tindakan yang berprinsip dan konsisten.

“Inilah asas kita dalam membina masa depan Malaysia yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *