






28 MEI 2025
Buat julung kalinya pentas ASEAN Ke-46 pada kali ini berjaya menghimpun serta mempertemukan entiti gergasi yang kaya dengan khazanah sejarah dan tamadun—ASEAN, China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC)—dalam usaha dan upaya kita menjelmakan kerjasama serta sinergi yang berpasak pada prinsip saling hormat dan persefahaman yang jitu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam konteks memajukan agenda ASEAN pada kali ini iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ ke hadapan, tentunya pertemuan bersejarah ini menjadi lembaran baharu dalam memungkinkan kesejahteraan yang dikongsi secara bersama.
“Dalam lipatan sejarah, jalur perhubungan ini telah terjalin lama dahulu, dari Laluan Sutera, ke Melaka sebagai hab dan pusat maritim terkemuka, hinggalah terwujudnya jaringan dan laluan perdagangan moden yang kita saksikan hari ini,” katanya dalam hantaran di FB.
GLOBAL BAGI INOVASI
Beliau berkata, Malaysia berkeyakinan tinggi ASEAN mampu mencungkil serta mencambah peranan yang sama sebagai pusat global bagi inovasi, perdagangan serta pertukaran ilmu dan budaya.
Perdana Menteri berkata, pada tahun 2023, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN telah mencecah $3.8 trilion.
Katanya, sekaligus ia meletakkan kedudukan ekonomi rantau ini di tangga kelima terbesar dunia.
“Perdagangan antara ASEAN dan GCC pula bernilai $130.7 bilion dengan pelaburan asing sebanyak $390.2 juta, manakala perdagangan ASEAN-China mencatat angka tertinggi yakni sebanyak $696.7 bilion dan pelaburan asing sebanyak $17.3 bilion,” katanya.
MASIH BELUM DITEROKAI
Justeru itu katanya potensi pertumbuhan yang masih belum diterokai adalah amat besar dan luas.
“Malaysia mempunyai keyakinan bahawa falsafah dan semangat regionalisme yang dipatri atas faham konsensus, prinsip keterbukaan dan saling hormat akan terus menunjangi kekuatan keseluruhan ASEAN,” katanya.
Kata Perdana Menteri ia memungkinkan kerjasama strategik yang baharu dengan iltizam yang dibina secara bersama dengan masa depan yang lebih terjamin, kukuh dan makmur untuk generasi yang akan datang. – JM
