




28 MEI 2025
Malaysia menutup tirai Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dengan penuh bermakna di mana kejayaan ini adalah hasil kerja keras dan kerjasama erat pelbagai kementerian dan agensi serta pasukan keselamatan negara.
Dalam sidang media penutup persidangan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan tertinggi buat semua sahabat-sahabat pimpinan ASEAN atas semangat setiakawan luar biasa yang ditunjukkan.
Beliau berkata, sidang kali ini merupakan antara yang paling substantif dalam sejarah ASEAN bukan sahaja dari segi perbincangan, malah kenyataan bersama yang kukuh dan penuh makna.
GCC DAN CHINA
“Kerjasama dengan GCC dan China turut mencatat kemajuan ketara,” katanya dalam hantaran di FB.
Anwar berkata, ia tidak lagi bersifat formaliti semata-mata, perbincangan kali ini jauh lebih teliti, menyentuh isu-isu seperti tarif, projek bersama serta peranan bersama dalam mendukung keamanan dan kestabilan rantau.
“Saya tegaskan bahawa keutamaan ASEAN kekal pada kesejahteraan rakyat, perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi yang saksama,” katanya.
PRINSIP KEPUSATAN ASEAN
Anwar berkata, berpegang kepada prinsip kepusatan ASEAN, kita akan terus menjalin kerjasama strategik dengan semua kuasa besar dunia sama ada China, Amerika Syarikat mahupun negara-negara lain demi kepentingan serantau.
Berhubung penyertaan Timor-Leste, katanya, ASEAN mencapai kesepakatan untuk menerima kemasukan sebagai anggota penuh menjelang Oktober, tertakluk kepada beberapa langkah pematuhan akhir dalam aspek ekonomi yang telah ditetapkan sebelum ini.
Beliau berkata, sidang turut bersetuju memulakan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara ASEAN dan GCC bagi membuka ruang baharu untuk memperluas pasaran, menggalakkan pelaburan dan memperkukuh integrasi ekonomi serantau.
BANYAK ISU PENTING
Beliau berkata, banyak isu penting yang lazimnya dibincangkan kemudian telah diselesaikan lebih awal daripada kebiasaan, termasuk mengenai Myanmar, tarif dan perdagangan intra-ASEAN.
“Kini, tumpuan utama kita ialah menjelmakan kesepakatan ini kepada tindakan nyata menjelang pertemuan seterusnya pada Oktober,” katanya.
“Saya percaya semangat yang ditunjukkan oleh semua pemimpin ASEAN kali ini mencerminkan tekad baru untuk menjadikan ASEAN benar-benar berpaksikan rakyat demi masa depan yang lebih mampan dan terangkum,” tambah Anwar. – JM
