




16 MEI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Persekutuan Rusia, Mikhail Mishustin bersama delegasi dari kedua-dua negara.
“Saya menzahirkan penghormatan kepada Mishustin atas usaha beliau melaksanakan reformasi institusi di Rusia, satu pendekatan yang selari dengan agenda reformasi yang sedang digerakkan di Malaysia menerusi gagasan MADANI,” katanya dalam hantaran di FB.
Dalam pertemuan ini, kami menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, kesihatan, tenaga, pertanian, pelancongan serta pertukaran budaya dan saintifik.
MENGHARGAI PELBAGAI MEKANISME
Beliau berkata, Malaysia menghargai pelbagai mekanisme kerjasama yang telah diwujudkan, termasuk Suruhanjaya Bersama JC-ESTC yang akan bersidang semula di Langkawi hujung tahun ini.
“Dari segi perdagangan, saya menyatakan hasrat Malaysia untuk menggandakan eksport produk bernilai tambah tinggi ke Rusia seperti peranti perubatan, bahan binaan dan panel solar, di samping meningkatkan eksport komoditi utama seperti koko dan minyak sawit,” katanya.
Malaysia turut mengalu-alukan pelaburan langsung asing dari Rusia, terutamanya dalam sektor teknologi tinggi seperti aeroangkasa, ekonomi digital, tenaga dan agroteknologi, selain menggalakkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan bersama.
“Kami turut berbincang mengenai penyambungan semula penerbangan terus Aeroflot ke Malaysia serta langkah-langkah meningkatkan keterhubungan dan pertukaran rakyat antara kedua-dua negara,” katanya.
Sebagai tanda keakraban hubungan yang semakin erat, Perdana Menteri turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Mishustin untuk berkunjung ke Malaysia bersama delegasi kerajaan dan perniagaan Rusia dalam masa terdekat. – JM