MCMC siasat hantaran di media sosial papar ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap

Oleh: Sholina Osman
16 MEI 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan berhubung satu hantaran di media sosial yang memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap, susulan beberapa aduan yang diterima daripada orang awam.

Kenyataan media MCMC memaklumkan sebagai sebahagian daripada siasatan, seorang individu telah memberikan keterangan kepada MCMC pada 15 Mei 2025.

Sebuah telefon bimbit disita bagi membantu siasatan.

Individu-individu lain yang berkaitan akan turut dipanggil sekiranya perlu, dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

MEMPERUNTUKKAN HUKUMAN DENDA

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Jalur Gemilang adalah simbol rasmi negara yang membawa nilai kedaulatan dan perpaduan.

Penggunaan ilustrasi yang tidak tepat, khususnya di platform dalam talian, boleh menimbulkan kekeliruan serta menyentuh sensitiviti awam.

PENGGUNA MEDIA SOSIAL

Sehubungan dengan itu, MCMC menyeru semua pengguna media sosial agar lebih berwaspada dan bertanggungjawab dalam menghasilkan dan memuat naik kandungan khususnya dalam era teknologi moden seperti Kecerdasan Buatan (Al) dan penjana kandungan digital.

Amalan kawal selia kendiri dan semakan fakta yang teliti adalah amat penting bagi mengelakkan penyebaran kandungan yang mengelirukan atau berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat.

МСМС komited untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pelanggaran undang-undang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *