


Oleh: Sholina Osman
13 MEI 2025
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga kesemua anggota khususnya waris kepada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Polis Diraja Malaysia (PDRM yang terkorban.
Kesemua mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan anggota FRU pada pagi ini, 13 Mei 2025, di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Perak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata,
kehilangan insan tersayang
dalam sekelip mata adalah satu dugaan yang sangat berat.
SEMUA AHLI KELUARGA
“Saya mendoakan agar semua ahli
keluarga yang terlibat diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik yang amat
mencabar ini,” katanya dalam kenyataan media petang ini.
Saifuddin berkata, Allahyarham anggota-anggota FRU ini telah menunaikan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi dan keberanian demi menjaga keselamatan serta ketenteraman awam negara.
“Pengorbanan mereka adalah satu kehilangan besar buat negara dan akan sentiasa dikenang sebagai contoh keberanian dan jasa yang tidak ternilai,” katanya.
MENJALANKAN SIASATAN TERPERINCI
Sehubungan itu, KDN akan menguruskan segala urusan berkaitan insiden ini dengan segera dan menyeluruh, termasuk menjalankan siasatan terperinci oleh pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Saifuddin berkata, KDN turut memberi jaminan bahawa kebajikan keluarga dan anggota yang terlibat akan dijaga dengan sewajarnya.
“Marilah kita sama-sama mendoakan agar roh mereka yana terkorban dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada serta solihin,” katanya.
Beliau juga mendoakan mereka yang masih dirawat diberikan kesembuhan yang segera dan sempurna. – JM