

1 MEI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) untuk membincangkan strategi memperkukuh kedudukan eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).
Mesyuarat ini diadakan susulan pertemuan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan Setiausaha Perdagangan dan Wakil Perdagangan AS minggu lalu, yang menjadi langkah penting dalam memastikan suara Malaysia terus didengari dalam landskap perdagangan global yang semakin mencabar.
“Malaysia perlu mengimbangi hubungan erat dengan AS dan rakan-rakan lain, sambil menggalas amanah Kepengerusian ASEAN untuk memacu pertumbuhan serantau,” katanya dalam hantaran di FB.
Beliau berkata, inilah juga kesempatan untuk kita memangkin usaha menyusun semula struktur ekonomi negara, membina asas yang lebih kukuh, kalis cabaran, dan berdaya saing dalam dunia yang kian tidak menentu. – JM
