







Petikan FB Anwar Ibrahim
17 APRIL 2025
Pertemuan dua hala dengan Presiden China Xi Jinping di Kompleks Seri Perdana hari ini merupakan satu detik yang amat bermakna dan bersejarah sekali gus melambangkan komitmen jitu kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan strategik yang telah terjalin sejak sekian lama.
Ketibaan disambut dengan penuh mesra dan hormat, diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh para pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta pelajar Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(2) yang turut menyampaikan ucapan ‘Selamat Datang ke Malaysia’ dalam bahasa Mandarin hatta mencerminkan semangat persahabatan dan saling menghormati antara rakyat kedua-dua negara.
MENGETUAI DELEGASI NEGARA
Saya dan Presiden Xi kemudiannya mengetuai delegasi negara masing-masing dalam mesyuarat dua hala yang berlangsung selama lebih sejam bagi membicarakan pelbagai perkara penting yang menyentuh kepentingan bersama.
Saya mengalu-alukan kunjungan Presiden Xi, seorang sahabat sejati dan pemimpin yang saya hormati kerana kepemimpinannya yang menerajui kemajuan ekonomi dan memperjuangkan prinsip kemakmuran bersama serta nilai ketamadunan sejagat.
Alhamdulillah, hubungan Malaysia-China terus kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, perdagangan, pelaburan dan teknologi baharu seperti AI, dan kedua-dua negara komited untuk memperluas kerjasama ini demi manfaat bersama.
KESEPAKATAN MALAYSIA BERSAMA
Menyentuh soal tarif Amerika Syarikat (AS), saya mengulangi pendirian dan kesepakatan Malaysia bersama negara anggota ASEAN untuk meneruskan rundingan dan semangat kesepaduan bagi mencari jalan penyelesaian yang mampan.
Perbincangan kami turut menyentuh usaha meneroka ruang untuk melonjakkan pelaburan dan perdagangan Malaysia-China serta memperkukuh kerjasama pelbagai bidang termasuk ekonomi digital, agrikomoditi, semikonduktor, automotif, pengangkutan, perubatan, nadir bumi dan sebagainya.
Dalam mesyuarat ini, Presiden Xi turut menzahirkan simpati dan menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada keluarganya serta seluruh rakyat Malaysia. – JM