






Oleh: Sholina Osman
16 JAN. 2025
Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Program Sulam Road Safety yang bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya, khususnya dalam kalangan pelajar dan komuniti setempat.
Kenyataan media UUM memaklumkan, program ini dianjurkan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah dan berlangsung di Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), UUM.
Antara pengisian menarik sepanjang program adalah ceramah keselamatan jalan raya oleh Ketua Unit Advokasi Unit Keselamatan Jalan Raya Negeri Kedah (UKJRK), Yaseri Jusoh.
Selain itu, turut diadakan pertukaran topi keledar kepada pelajar UUM, pameran keselamatan jalan raya, serta perkhidmatan kaunter JPJ
Mobile yang menarik perhatian ramai.
PENYERAHAN TOPI KELEDAR
Sebagai simbolik program, acara penyerahan topi keledar disempurnakan oleh Timbalan Pengarah JPJ Negeri Kedah, Shahrul Azhar Mat Dali, dengan disaksikan oleh Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh.
Turut serta dalam majlis ini ialah Ketua Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat JPJ Negeri Kedah, Norliana Sallehuddin, serta pensyarah-pensyarah dan wakil-wakil Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Kedah.
Moga program ini menjadi langkah penting dalam membentuk budaya pemanduan yang selamat dan bertanggungjawab.
“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama, dan program seperti ini mampu menyemai kesedaran serta meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya,” ujar Shahrul Azhar Mat Dali.
Dengan penglibatan pelbagai pihak, inisiatif seperti ini diharapkan dapat memberi impak positif dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sekaligus menjadikan jalan raya lebih selamat untuk semua. – JM