Agama Islam ajar umatnya bina peribadi baik – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
16 JAN. 2025

Agama Islam sentiasa mengajar umatnya untuk membina keperibadian yang baik, di mana ia tidak terletak pada penampilan luar semata-mata kerana lebih penting nilai-nilainya diamalkan dalam kehidupan seharian.

Keperibadian seorang Muslim seharusnya mencerminkan akhlak yang mulia dan sikap yang berperanan sebagai contoh teladan kepada masyarakat sekitar.

Keperibadian Islam yang sejati adalah mereka yang menampilkan sifat-sifat seperti kejujuran, amanah, dan tanggungjawab.

Sifat sabar dan pemaaf juga adalah nilai utama dalam ajaran Islam, kerana ia membantu kita menghadapi segala cabaran kehidupan dengan hati yang tenang.

PROGRAM HIJRAH MINDA

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah sedemikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Saidina Uthman Al-Affan Kampung Surau, Utan Aji dekat Kangar baru-baru ini.

Keberangkatan Baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

BERUPA WANG TUNAI

Baginda berdua turut berkenan untuk menyempurnakan penyampaian sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM700 setiap seorang kepada 280 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Kampung Surau, Long Boh, Mengkuang Layar dan Alor Redis.

Jumlah penuh agihan zakat disumbangkan MAIPs untuk sesi kali ini ialah RM196,000.

Para asnaf sebelum menerima sumbangan ini menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma dan turut disediakan ceramah bertajuk ‘Menjauhi Najis Dadah’ dari AADK Negeri Perlis serta ‘Bangun Jiwa Asnaf’ oleh pihak MAIPs. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *