





Oleh: Sholina Osman
15 JAN. 2025
Naib Canselor, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan mengadakan kunjungan rasmi ke Ibu Pejabat Nothern Corridor Implementation Authority (NCIA)di Pulau Pinang.
Kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam usaha memajukan pembangunan sosioekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Ketibaan delegasi UUM disambut oleh Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan, bersama pengurusan kanan NCIA.
Dalam pertemuan ini, perbincangan tertumpu kepada peluang kolaborasi dalam bidang pembangunan modal insan, penyelidikan inovasi, dan projek pembangunan komuniti yang berimpak tinggi.
INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI
Dr Mohd Foad menegaskan komitmen UUM untuk terus memainkan peranan sebagai institusi pendidikan tinggi yang menyokong pembangunan negara, khususnya di NCER.
“Sebagai universiti pengurusan terkemuka, UUM sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan agensi seperti NCIA bagi melahirkan graduan berkualiti tinggi yang dapat memenuhi keperluan pasaran kerja dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,” ujar beliau.
Mohamad Haris Kader Sultan berkata, NCIA amat menghargai sumbangan UUM dalam menyokong visi untuk menjadikan NCER sebagai wilayah yang makmur dan berdaya tahan.
“Kerjasama strategik ini akan membuka lebih banyak peluang kepada pelbagai pihak, terutamanya dalam memperkasakan pembangunan modal insan serta memperkenalkan inovasi-inovasi baharu yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.
DALAM MEMPERKASAKAN PELAJAR
Kunjungan ini juga menyaksikan perbincangan tentang inisiatif bersama dalam memperkasakan pelajar dan komuniti tempatan melalui program latihan kemahiran, keusahawanan, serta peluang penyelidikan yang dapat memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat NCER.
Dengan sinergi antara UUM dan NCIA, diharapkan usaha kolaboratif ini akan terus menyumbang kepada kejayaan pembangunan wilayah dan peningkatan kesejahteraan rakyat, sejajar dengan aspirasi negara.
Turut hadir dalam perjumpaan ini ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UUM, Prof Dr Russayani Ismail, Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri, CUIC Profesor Dr. Chandrakantan Subramaniam dan Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) Prof Madya Dr Mohd Faizal Omar. – JM