Lawatan Penanda Aras Kesatuan Mahasiswa UKM Ke MPP UUM

Oleh: Sholina Osman
14 JAN. 2025

Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPP UUM) bertujuan memperkukuh hubungan dan bertukar pandangan mengenai aspek kepimpinan serta aktiviti mahasiswa.

Delegasi UKM yang diketuai oleh Speaker Mohamad Zikrul Safwan Azmi bersama 21 ahlinya disambut meriah oleh barisan kepimpinan MPP UUM yang dipimpin oleh Yang Dipertua MPP UUM, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Bahagian Kepimpinan dan Pemerkasaan Mahasiswa, Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (Select), Muhammad Danial Khaleq Mohd Ali.

Sementara itu Mohd Fadzli Suhaimi memberikan taklimat ketika mereka melawat Anjung Tamu iaitu pusat informasi dan ikon universiti yang mempamerkan sejarah serta pembangunan UUM.

MELAWAT ANJUNG TAMU

Delegasi ini turut dibawa melawat Anjung Tamu, pusat informasi dan ikon universiti yang mempamerkan sejarah serta pembangunan UUM.

Di sini, mereka diberi penerangan mengenai konsep unik bangunan yang menggabungkan elemen seni bina tradisional Melayu dan Islam.

Delegasi turut tertarik dengan keindahan reka bentuk Anjung Tamu yang dilengkapi pelbagai kemudahan mesra pengunjung.

MEMAHAMI SEJARAH PENUBUHAN

Seterusnya, mereka dibawa ke Muzium Pengurusan UUM, di mana delegasi berpeluang memahami sejarah penubuhan dan kejayaan UUM dalam bidang akademik dan pengurusan sebelum bergerak ke Akademi Golf Nasional, sebuah pusat latihan sukan golf bertaraf antarabangsa yang menjadi salah satu daya tarikan kampus.

Di sini, mereka berpeluang mencuba sendiri aktiviti bermain golf di bawah bimbingan wakil MPP Akademi Golf Nasional.

Lawatan diakhiri dengan sesi bergambar di sekitar kampus dan di Dewan Muadzam Shah (DMAS), sebagai tanda kenang-kenangan atas lawatan bersejarah ini.

Moga lawatan ini menjadi platform untuk bertukar ilmu dan pengalaman yang dikongsi ini akan memperkukuh hubungan antara kedua-dua universiti dan mengeratkan hubungan di masa hadapan demi kecemerlangan mahasiswa secara keseluruhan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *