




Oleh: Sholina Osman
14 JAN. 2025
Seramai 220 pelajar terdiri daripada pemimpin kolej kediaman dari 18 Universiti Awam Malaysia dan seorang wakil Universiti Syiah Kuala, Indonesia, telah menyertai program lawatan pendidikan ke Prince of Songkla University (PSU) Thailand yang dianjurkan oleh Inapan Siswa (Inasis) Tenaga Nasinal berhad (TNB) Universiti Utara Malaysia (UUM), dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, RHB Bank, Yayasan Perkasa Siswa, Majlis Presiden JKPSRS (MPJ) UUM, dan PSU Thailand.
Program ini bertujuan mengukuhkan hubungan kerjasama antara Malaysia, Indonesia, dan Thailand serta memperkenalkan peserta dalam kepelbagaian budaya di Thailand.
Delegasi ini bertolak ke sempadan Bukit Kayu Hitam sebelum menuju ke PSU di Hatyai dengan bantuan lima pemandu pelancong Thailand yang memberi penerangan mengenai budaya dan bahasa tempatan sepanjang perjalanan ke negara Gajah Putih itu.
Ketibaan delegasi ini bersama Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin disambut oleh Timbalan Presiden Hal Ehwal Pelajar dan Alumni PSU, Prof. Madya Dr. Wirote Yourawong.
MELAWAT FASILITI PSU
Dalam lawatan ini mereka dibawa melawat fasiliti PSU, termasuk kolej kediaman, dan berbincang tentang penambahbaikan kemudahan kolej berdasarkan amalan terbaik PSU.
Manakala lawatan luar pula kesemua peserta di bawa mengelililigi Hatyai antaranya Old Town Songkla, Masjid Taj Mahal, Klonghae Market, dan Samila Beach.
Pengarah Program, Muhammad Fadhil Zulkifli dalam temubual berkata, program ini dianggap berjaya kerana mencapai objektif utama memperkukuh hubungan antara universiti serta mempromosikan pemahaman budaya.
“Program ini memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari amalan terbaik PSU, memperluas rangkaian kerjasama, dan meningkatkan kemahiran kepimpinan mereka,” ujarnya lagi.
Moga lawatan pendidikan yang dianjurkan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara tiga negara, tetapi juga memberi inspirasi kepada peserta untuk terus cemerlang dalam kepimpinan dan memberi asas kepada kepimpinan Inasis TNB UUM untuk meneruskan program peringkat antarabangsa ini. – JM