





Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
Kangar akan menjadi tuanrumah “Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2025” yang akan berlangsung dari 24 hingga 27 Januari 2025 di Dewan 2020, Persiaran Wawasan, Kangar, Perlis
Bertemakan “Quran: The Divine Guidance” atau “Al-Quran: Hidayah Ilahi”, konvensyen ini dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebagai penaja utama.
Konvenyen ini yang merupakan sebuah platform berprestij untuk mengupas isu-isu penting dan memperkukuh hubungan global melalui diskusi ilmiah turut mendapat kerjasama dari pelbagai organisasi antaranya The Straight Path Convention, Dakwah Corner dan Merdeka Times.
MENJADI MEDAN PERTEMUAN
PISC 2025 bakal menjadi medan pertemuan kira-kira 23 ulama dan cendekiawan Islam terkemuka dari seluruh dunia, menjanjikan wacana yang penuh ilmu dan inspirasi.
Antara tokoh-tokoh yang dijadualkan akan hadir ialah Dr. Zakir Naik (India), Sheikh Shady Alsuleiman (Australia), Dr. Muhammad Salah (Mesir), Sheikh Abdur Raheem Green (United Kingdom), Dr. Ahmed Saifuddin dan Sheikh Assim Al-Hakeem (Arab Saudi), Dr. Omar Suleiman, Dr. Waleed Basyouni, serta Sheikh Yusuf Estes (Amerika Syarikat). Turut menyertai adalah Dr. Bilal Philips (Kanada) dan ramai lagi ilmuwan Islam yang terkenal.
Para tetamu akan menyampaikan ceramah masing-masing dalam Bahasa Inggeris.
KEFAHAMAN TENTANG ISLAM
PISC 2025 ini merupakan peluang keemasan untuk mendalami kefahaman tentang al-Quran, serta memperkukuh ukhuwah sejagat.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam kenyataan media MAIPs ketika berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis di Restoran Noree Thai Cuisine, Khlong Sam Wa, Bangkok, Thailand sempena program Ziarah Mahabbah MAIPs, baru-baru ini.
Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh pemilik restoran tersebut iaitu Stith Meesanthan dan Noree Runsoo.
SYEIKHUL ISLAM THAILAND
Turut hadir adalah Menteri Cularaja atau Syeikhul Islam Thailand, Syeikh Arun Boonchom Muhammad Jalaluddin Hussin dan Imam merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam Wilayah Bangkok, Syeikh Samai Charoenchang.
Promosi Masakan yang dianjurkan oleh pihak restoran dengan kerjasama MAIPs, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) ini bertujuan untuk mengetengahkan warisan kulinari Perlis iaitu ‘Masakan Kurma Daging’ kepada masyarakat Bangkok dan juga antarabangsa melalui hidangan istimewa ini yang mencerminkan citarasa autentik Perlis.
Perlis Food Promotion selama dua minggu di restoran berkenaan bukan sahaja menjadi platform untuk memperkenalkan masakan tradisional Perlis malah dapat mengukuhkan hubungan budaya dan ekonomi antara Perlis dan pelbagai negara termasuk Eropah, Asia dan juga Timur Tengah.
Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan rata-rata pengunjung menyatakan minat untuk mencuba lebih banyak menu masakan Perlis pada masa hadapan. – JM