Isu rakyat di bawah garis kemiskinan masih banyak perlu dilakukan – Anwar

Oleh: Sholina Osman
11 JAN. 2025

Isu-isu berkaitan keperluan rakyat khususnya yang tergolong dalam garis kemiskinan, masih banyak perlu dilakukan dan diberikan tumpuan sewajarnya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menekankan perkara itu sewaktu berucap pada majlis Perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Majlis Belia Malaysia (MBM) ke-73, Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Anwar juga menitipkan pesanan agar kualiti dan mutu pendidikan negara juga harus terus diangkat ke tahap lebih tinggi lagi.

“Menyentuh mengenai anak muda, saya tekankan bahawa golongan ini mempunyai keupayaan dalam menjadi ‘jurucakap’ kepada suara hati rakyat pelbagai bangsa bagi membela nasib mereka dan juga seluruh lapisan masyarakat,” katanya dalam hantaran FB miliknya.

UNTUK MENYELAMATKAN NEGARA

Sehubungan itu, katanya, pilihan senantiasa di tangan mereka sama ada untuk menyelamatkan negara dan bangsa tercinta atau menjadi jaguh mengenai isu remeh-temeh yang tidak menguntungkan mana-mana pihak sekalipun.

Sementara itu kenyataan media MBM memaklumkan Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid mengekalkan jawatan sebagai Presiden bagi penggal kedua untuk tempoh 2024-2026.

Pemilihan kepimpinan baharu MBM ini sebagai memenuhi tuntutan Perlembagaan MBM dan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).

Malah pemilihan ini juga merupakan sesi terakhir bagi pemegang jawatan MBM berumur bawah 40 tahun, apabila Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 akan berkuatkuasa menyaksikan belia berumur di bawah 30 tahun pada 1 Januari 2026.

Seramai 396 orang perwakilan terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kerja, Dewan Tertinggi dan Badan-badan Gabungan MBM dari seluruh negara mengambil bahagian dalam MPAT kali ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *