Oleh: Sholina Osman
11 JAN. 2025
Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) telah berbincang tiga agenda utama dalam usaha
memperkukuhkan pembangunan ekonomi Bumiputera semasa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen.
Presidennya, Datuk Mohammad Sahar Mat Din berkata, ia melibatkan
Waqaf Korporat, Ekonomi Digital
Islam, dan Industri Halal ASEAN.
Beliau berkata, Waqaf Korporat adalah satu pendekatan strategik yang bertujuan memperkukuhkan kedudukan ekonomi melalui instrumen saham wakaf yang berdaya tahan dan lestari.
“Inisiatuif ini menggabungkan pelaburan strategik di dalam syarikat berprestasi tinggi, penggabungan secara jemaah syarikat-syarikat sederhana ke dalam satu entiti yang kukuh bagi penyenaraian IPO di Bursa Malaysia, serta pembiayaan
mikro waqaf dan geran padanan bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya dalam kenyataan media semasa mengadakan perbincangan strategik dengan Perdana Menteri.
PENDEKATAN INI SEJAJAR
Mohammad Sahar berkata, pendekatan ini sejajar dengan Kerangka Ekonomi Madani dan Pelan Transformasi Ekonomi
Bumiputera 2035 (PuTERA35), dengan matlamat meningkatkan pemilikan ekuiti wakaf dalam
sektor strategik dan ekonomi berprestasi tinggi.
“Cadangan Waqaf Korporat Madani kepada Perdana Menteri mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Malaysia dengan pendekatan pelaburan strategik dan sistem sokongan bersepadu kepada usahawan.
Ia bukan sahaja berfungsi untuk memperkukuhkan daya saing ekonomi komuniti usahawan, tetapi juga memastikan pertumbuhan inklusif dan kesamarataan ekonomi jangka panjang,” jelas beliau.
Dengan perancangan lima tahun yang digariskan, inisiatif ini dijangka memberikan impak besar, termasuk meningkatkan kehadiran pemilikan saham dan jumlah syarikat terutamanya Bumiputera di Bursa Malaysia, dan membangunkan syarikat wakaf yang berdaya saing di peringkat global.
EKONOMI DIGITAL ISLAM
Sebagai sebahagian daripada agenda Ekonomi Digital Islam, DPIM turut mengetengahkan Agenda Usahawan AI untuk memastikan usahawan Bumiputera tidak ketinggalan dalam arus
perkembangan teknologi.
Berdasarkan kajian DPIM, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di kalangan usahawan di Malaysia masih berada pada tahap 25 peratus jauh ketinggalan
berbanding negara maju yang telah mencapai kadar penggunaan antara 50 peratus hingga 60 peratus.
Agenda ini bertujuan untuk membantu usahawan memanfaatkan teknologi terkini seperti AI bagi meningkatkan daya saing, produktiviti, dan inovasi dalam perniagaan mereka.
Langkah ini penting untuk memastikan usahawan tempatan dapat bersaing di peringkat global dengan lebih yakin.
POPULASI MINORITI ISLAM
DPIM memaklumkan bahawa pada Disember 2024, satu dialog khas telah dianjurkan dengan
penyertaan negara-negara ASEAN serta negara-negara dengan populasi minoriti Islam seperti China, India, Mongolia, dan Australia.
Dialog ini turut melibatkan penyertaan aktif pelbagai dewan perniagaan dan industri serantau yang menjadi platform membincangkan peluang
kerjasama dan pengukuhan sektor halal di rantau ASEAN.
Melalui inisiatif ini, DPIM berharap Malaysia dapat terus memainkan peranan utama dalam sektor halal di peringkat ASEAN, selain mengukuhkan kedudukannya sebagai hab halal global.
MEMBERIKAN SOKONGAN PENUH
Perdana Menteri telah memberikan sokongan penuh kepada ketiga-tiga agenda yang dibentangkan.
Beliau turut mencadangkan beberapa agensi kerajaan dan kementerian untuk bekerjasama dengan DPIM dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Waqaf Korporat, Ekonomi Digital Islam, dan Industri Halal ASEAN ini.
DPIM percaya bahawa dengan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan dan sektor swasta,
ketiga-tiga agenda ini akan membawa manfaat besar kepada ekonomi Bumiputera dan negara
secara keseluruhan.
Malah DPIM menyeru semua pihak, khususnya usahawan Bumiputera, untuk bersama-sama merealisasikan visi ini demi masa depan ekonomi Islam yang lebih progresif. – JM