Raja Muda, Raja Puan Muda lawat Ranong, Thailand sempena Ziarah Mahabbah MAIPs

Oleh: Sholina Osman
Foto: Ihsan MAIPs
9 JAN. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima taklimat mengenai cadangan perancangan “Land Bridge Ranong – Chumpon” di Thailand yang disampaikan oleh Gabenor Wilayah Ranong, Suphot Phutikiatkhajorn.

Kenyataan media MAIPs memaklumkan sesi taklimat tersebut adalah sebahagian daripada program yang diaturkan sempena lawatan kerja Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke wilayah berkenaan dari 7-9 Januari 2025 yang diketuai Baginda.

Turut mengiring adalah Pengerusi Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi.

Suphot menerangkan status terkini adalah dalam kajian dan jika dilaksanakan kelak akan merangkumi enam lorong lebuh raya sejauh 94.9km, jalan kereta api berkembar serta dua pelabuhan yang akan merancakkan lagi ekonomi Thailand selain lapangan terbangnya juga akan dinaiktaraf.

Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pernah berkunjung ke Ranong pada tahun 2019.

RAKAN STRATEGIK MAIPs

Ranong merupakan salah satu destinasi dikunjungi secara giliran di antara 6 buah Majlis Agama Islam Wilayah Andaman yang merupakan rakan strategik MAIPs sejak sedekad lalu.

Raja Muda bertitah bahawa seandainya projek tersebut menjadi realiti, maka Perlis menawarkan untuk apa-apa kerjasama yang boleh dijalinkan untuk situasi ‘menang-menang’ terutama sekali dengan kewujudan Pelabuhan Darat di Padang Besar dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) yang sedang giat dibangunkan sekarang serta cadangan projek pembangunan Pelabuhan Sanglang kelak di negeri ini.

MELUANGKAN MASA SINGGAH

Ketika di Ranong juga Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama-sama Tuanku Lailatul Shahreen turut meluangkan masa singgah meninjau “Multi Purpose Pier of Ranong” yang terletak menghadap negara Myanmar sejauh hanya kira-kira lima kilometer sahaja dari situ.

Suphot yang baharu dilantik sebagai Gabenor wilayah ini sejak tiga bulan yang lalu juga mengiringi pasangan DiRaja tersebut melawat beberapa lokasi menarik di bandar tersebut termasuklah Khao Nivet View Point yang baru sahaja siap dan dibuka untuk kunjungan orang ramai, Rattana Rangsarn Throne Hall dan juga OTOP Lifestyle Ranong. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *