Oleh: Sholina Osman
10 JAN. 2025
Polis berjaya menahan lelaki warga Kemboja sebelum seludup keluar melalui “jalan tikus” di sempadan Malaysia-Thai menerusi satu sindiket yang diuruskan oleh warga asing menetap di Malaysia.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner, Mohd Shokri Abdullah berkata, kesemua lelaki yang berusia 18 hingga 44 tahun ini ditahan di Gapura Square, Padang Besar pada pukul 8.30 pagi, 6 Januari 2025.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut pasport milik empat lelaki berkenaan tamat tempoh pada Disember 2024 manakala seorang lagi tiada sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Perkara ini dibongkar hasil maklumat risikan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dan Jabatan Siasatan Siasatan Jenayah, Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis,” katanya pada sidang media di IPD Padang Besar.
BERADA DALAM KENDERAAN
Mohd Shokri berkata, kesemua lelaki berkenaan ditemui berada dalam kenderaan jenis Toyota Unser berwarna hitam yang dipandu oleh seorang wanita yang berperanan sebagai “transporter”.
“Wanita berusia 43 tahun, berstatus Permastautin Tetap juga telah dikesan mempunyai tiga rekod jenayah lampau,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut telah membawa tangkapan susulan terhadap seorang wanita warga asing berusia 34 tahun yang dipercayai tekong kepada sindiket yang beroperasi sejak dua tahun lalu,” katanya.
Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati “transporter” dari negeri jiran ini ke Padang Besar untuk mengambil lima lelaki warga asing dari tekong yang menguruskan keluar secara haram dengan bantuan seorang lelaki dari negara jiran.
“TRANSPORTER” MENERIMA
UPAH
Mohd Shokri berkata, “transporter” menerima upah sebanyak RM400 dari tekong yang juga menggenakan bayaran RM900 setiap seorang lelaki berkenaan,” katanya.
Mohd Shokri berkata, kedua suspek wanita ini yang dipercayai sebagai “transporter” dan tekong akan direman selama 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA.
Tambahnya, lima lelaki berkenaan direman 14 hari di bawah Akta Imigresen mulai 7 Januari 2025. – JM