Oleh: Sholina Osman
4 JAN. 2025
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meluangkan masa bersama warga Lembah Pantai di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Seri Pantai pagi ini.
Ia bersempena dengan program SULAM, Inisiatif Kepada Usahawan Mikro oleh para pelajar Pengajian Sarjana Muda Ekonomi Universiti Malaya (UM).
“Harapan saya, program seperti ini dapat dimanfaatkan warga Lembah Pantai yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan, lebih-lebih lagi setelah mendapatkan lesen yang sah dan menggunakan kemudahan yang sedia ada,” kata Fahmi yang dipetik dari FB miliknya.
LEBIH BANYAK KERJASAMA
Beliau berharap semoga lebih banyak kerjasama terjalin antara Universiti Malaya dan NADI untuk membawa pelbagai lagi inisiatif buat warga Lembah Pantai.
Sementara itu petikan dari FB milik NADI PPR Sri Pantai memuatkan status mengenai Program “Misi Usahawan Sukses: Belanjawan 2025”
Program “Misi Usahawan Sukses: Belanjawan 2025” yang telah berlangsung pada 4 Januari 2025 di NADI PPR Seri Pantai telah berjalan dengan penuh jayanya.
SAMBUTAN AMAT MENGGALAKKAN
Program ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk setempat, terutama usahawan kecil dan sederhana di kawasan PPR Seri Pantai dan Lembah Pantai.
Majlis ini turut diserikan Fahmi Fadzil, merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Hadir sama Timbalan Dekan (Ijazah Pertama), Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Prof Dr. Mohd Zulkhairi Mustapha, Pengurus NADI PPR Seri Pantai, Rosli Mamat dan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Seri Pantai, Muhammad Talib.
Program ini telah berjaya mencapai matlamatnya dalam menyediakan pendedahan tentang peluang keusahawanan yang ditawarkan melalui Belanjawan 2025, termasuk strategi pemasaran digital, pengurusan kewangan pintar, dan inisiatif kerajaan.
PERKHIDMATAN PINTAR NADI
Bengkel ini juga mengukuhkan pemahaman peserta terhadap 5 teras utama perkhidmatan pintar NADI, iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesihatan kendiri, kesedaran, dan inisiatif kerajaan.
Program ini dihadiri seramai 60 peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Kejayaan ini menunjukkan minat yang tinggi dalam kalangan komuniti untuk mendalami ilmu keusahawanan dan peluang yang ditawarkan oleh kerajaan.
Diharapkan program ini akan menjadi permulaan kepada lebih banyak inisiatif untuk memajukan komuniti dan usahawan setempat demi kesejahteraan bersama. – JM