Oleh: Sholina Osman
25 DIS. 2024
Dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum, usaha memahami latar perbezaan harus dijadikan asas untuk mendekatkan jarak yang memisahkan.
Perbezaan agama, ras, dan budaya bukanlah halangan, sebaliknya ia perlu diraikan demi memperkukuh perpaduan.
Masyarakat diseru agar menerapkan nilai saling memahami, menghormati, dan berintegrasi dalam setiap lapisan sebagai pemangkin kepada keharmonian sejagat.
HIJRAH MINDA MAIPs
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan program Hijrah Minda MAIPs yang telah dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Barakah Jelempok, Arau Perlis.
Hadir sama mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Baginda bertitah, perpaduan yang kukuh bermula daripada kesediaan untuk memahami dan menerima perbezaan.
YANG MEMPERKAYAKAN HUBUNGAN
“Kita harus menjadikan perbezaan ini sebagai keindahan yang memperkayakan hubungan sesama manusia,” titah Baginda.
Sempena program tersebut, Tuanku Raja Muda merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan untuk menyerahkan bantuan MAIPs kepada seramai 20 asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Jelempok yang menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700 setiap seorang.
MAIPs mengagihkan zakat sebanyak RM14,000 pada sesi kali ini. – JM