Oleh: Sholina Osman
22 DIS. 2024
Kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan diperkasakan melalui pindaan Akta Persaingan 2010 yang bakal dibentangkan pada awal tahun depan.
Pengerusinya, Tan Sri Idrus Harun berkata, sekaligus ia akan dapat memastikan perilaku sabotaj ekonomi dapat ditangani dengan lebih efektif melalui penalti yang lebih berat.
“MyCC mengalu-alukan kerjasama daripada ahli jawatankuasa atau ahli-ahli persatuan yang tidak bersetuju dengan tindakan persatuan yang mengamalkan perlakuan kartel serta orang awam termasuk agensi-agensi Kerajaan yang mempunyai maklumat mengenai sebarang cubaan atau tindakan yang menjurus kepada pembentukan kartel oleh persatuan-persatuan,” katanya dalam kenyataan media.
MENGENAKAN PENALTI KEWANGAN
Idrus berkata, MyCC telah mengenakan penalti kewangan sebanyak RM415.5 juta di mana terdapat lima syarikat pengeluar makanan ayam dan salah satu bukti yang diperoleh melalui penyiasatan MyCC adalah mereka menggunakan platform Malaysian Feedmillers Association.
“Platform ini untuk mereka berkumpul lantas memulakan serta memperkukuhkan lagi perlakuan kartel mereka melalui pertukaran maklumat tentang kos dan harga,” jelasnya.
Justeru, katanya, MyCC ingin memaklumkan bahawa pihaknya sudah membuka beberapa kertas penyiasatan terhadap beberapa persatuan serta ahli jawatankuasa termasuk ahli-ahli persatuan yang disyaki terlibat dalam perlakuan kartel.
Beliau berkata, maklumat di lapangan yang diperoleh daripada saluran media utama dan platform sosial media menunjukkan bahawa ada persatuan.
MENGABURI MATA RAKYAT
Jelas Idrus, dengan melalui ketua mereka, cuba mengaburi mata rakyat dengan menyatakan pengumuman kenaikan itu hanyalah jangkaan kenaikan untuk masa hadapan atau harga panduan walhal pengumuman itu sebenarnya adalah hasil keputusan persatuan yang berbaur kartel.
“MyCC juga tidak terkejut jika ada persatuan yang membuat keputusan secara rahsia dengan harapan tindakan mereka tidak dapat dikesan kerana mereka sedar perkara tersebut melanggar perundangan persaingan,” katanya.
Tegas Idrus, MyCC kekal komited, tanpa gentar atau pilih kasih, untuk melindungi kepentingan pengguna dan memastikan wujudnya persaingan sihat dalam pasaran.
Tambahnya, tindakan MyCC akan ditumpukan kepada mana-mana perusahaan tidak kira besar atau kecil selagi mereka menunjukkan perilaku atau elemen kartel. – JM