Pelajar Asasi Pengajian Islam UniSIRAJ bertuah dapat motosikal sempena program Daurah

Oleh: Sholina Osman
19 DIS 2024

Peserta Program Daurah Pemurniaan Akidah dan Ibadah anjuran Pusat Islam Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Agama Islam Arab Saudi membuat kejutan apabila mengumumkan hadiah cabutan bertuah sebuah motosikal milik pelajar Asasi Pengajian Islam Nur Sakinah Azmi.

Pengarah Pusat Islam UniSIRAJ Mohd Roesfan Sazzerin Mohd Sofi berkata, selain daripada hadiah utama ini pihak urusetia juga menyediakan empat buah telefon bimbit, periuk nasi, empat unit powerbank, pengisar serba guna dan sterika kepada peserta yang menyertai program ini.

Daurah ini adalah inisiatif universiti ini untuk memberikan kefahaman sebenar tentang aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada masyarakat umum di Malaysia selaras dengan peranan UniSIRAJ dalam memperkasakan keilmuan umat Islam yang berteraskan Al-Quran dan Sunnah sekali gus meningkatkan keterlihatan universiti ini sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi yang terkehadapan dalam penyebaran ilmu iman dan amal kepada warga kampus dan masyarakat.

AKIDAH DAN IBADAH

Beliau menambah program ini juga diadakan bagi memberikan pendedahan berkaitan akidah dan ibadah yang benar dan sejahtera yang bersandarkan Al-Quran dan Sunnah selain daripada bertindak sebagai penganjur yang dapat memartabatkan nama UniSIRAJ.

Moga dengan penganjuran Daurah ini bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman serta ilmu berkaitan yang melibatkan amalan dan agama malah menjadi medan untuk memperjelaskan kepada umat Islam berhubung kekeliruan yang timbul berkaitan isu-isu semasa.

Panel yang dijemput ialah Pengarah Jabatan Dakwah Wilayah Asir, Arab Saudi Sheikh Muhammad Hasan al-Syihri.

Kesemua peserta yang datang dari luar Perlis turut mendapat tajaan penginapan selama tiga hari dua malam di Hotel Regency Kangar selain makan dan minum selama program berlangsung. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *