MCMC, DPCH meterai MoU laksana Ipoh bandar raya pintar

Oleh: Sholina Osman
19 DIS. 2024

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalin kerjasama strategik dengan Digital Perak Corporation Holdings (DPCH) dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan program bandar pintar di bandar raya Ipoh, Perak.

Kenyataan media MCMC memaklumkan MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah Urusan MCMC, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DPCH, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir sambil disaksikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Exco Komunikasi, Multimedia & NGO Negeri Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Dengan kerjasama strategik ini dapat membantu pelaksanaan bandar pintar yang komprehensif meliputi usaha mempertingkat infrastruktur digital, pemerkasaan pendidikan digital serta penyediaan kemudahan komuniti pintar dan hijau.

AKAN DITAMBAH BAIK

“Melalui MoU ini, liputan Internet akan ditambah baik di seluruh kawasan Ipoh bagi menyokong perkhidmatan digital Kerajaan Negeri Perak, dan penyediaan pelan infrastruktur komunikasi di lokasi pembangunan yang dipersetujui,” katanya.

Selain itu, MCMC akan menawarkan khidmat nasihat teknikal kepada DPCH dalam aspek yang berkaitan dengan infrastruktur digital, jaringan, liputan, keselamatan siber dan pencegahan penipuan dalam talian.

MoU ini turut meneroka kerjasama berkaitan e-dagang dan latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kawasan Ipoh yang menyasarkan penglibatan komuniti di kawasan NADI.

Kesemua aspek kerjasama dan inisiatif tersebut bakal melonjakkan bandar raya Ipoh sebagai sebuah bandar raya pintar yang efisien, inovatif dan lestari sekali gus memacu ekonomi Perak ke tahap yang lebih baik. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *