Raja Muda lancar Kempen ‘Nihayatul Am’ Zakat, Wakaf, Sedekah

Oleh: Sholina Osman
17 DIS. 2024

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan Kempen ‘Nihayatul Am’ Zakat, Wakaf dan Sedekah Peluang Akhir Tahun 2024 untuk ditunaikan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Baginda selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan daripada Tabung Baraatuz Zimmah (t-BAZ) MAIPs yang diperuntukkan daripada dana sumber am untuk tujuan baik pulih Masjid Nurul Husna.

Sumbangan ini mencerminkan usaha berterusan MAIPs dalam membantu memperkasakan institusi keagamaan di Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, kempen ini merupakan peluang penting bagi umat Islam melaksanakan kewajipan zakat bagi haul tahun 2024.

MEMANFAATKAN BAKI REZEKI

Beliau turut menggalakkan masyarakat Islam untuk memanfaatkan baki rezeki dan kelapangan kewangan di penghujung tahun bagi menunaikan ibadah zakat, wakaf, dan sedekah.

“Jangan melengah-lengahkan tanggungjawab ibadah zakat dan sekarang adalah masa terbaik untuk memastikan zakat tahun ini dilunaskan tepat pada waktunya,” katanya.

Beliau berkata, kempen ini juga mendorong umat Islam untuk merebut peluang menggunakan kesempenan akhir tahun bagi meningkatkan amal jariah.

MENILAI SEMULA HARTA

Mohd Nazim turut menekankan bahawa penghujung tahun adalah waktu terbaik untuk menilai semula harta dan pendapatan yang diperoleh sepanjang tahun serta memastikan tanggungjawab kepada Allah SWT disempurnakan.

“Zakat bukan sahaja memenuhi kewajipan agama, tetapi juga berperanan menyucikan harta dan jiwa di mana ia melibatkan proses introspeksi yang membantu kita memperbaiki diri dan melibatkan diri dalam pembangunan masyarakat,” jelasnya.

Sebagai inisiatif tambahan, MAIPs juga melancarkan kempen kutipan wakaf tunai berjumlah RM2.5 juta bagi melengkapkan dana keseluruhan sebanyak RM7 juta untuk pembinaan Masjid As-Solihin, Bawah Bukit Chuping. – JM

Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha MAIPs untuk memperkukuhkan pembangunan komuniti Islam di Perlis.

Untuk kemudahan pembayaran zakat, wakaf, atau sedekah, umat Islam boleh mengunjungi portal rasmi MAIPs di www.maips.gov.my atau terus ke laman pembayaran dalam talian di bayaran.maips.gov.my. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *