Oleh: Sholina Osman
16 DIS. 2024
Sebanyak 100 pelajar, 50 staff Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bersama dengan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis telah menanam 200 pokok dari spesis Bakau Kurap (Rhizophora mucronata) dan Bakau Minyak (Rhizophora apiculata).
Program penanaman pokok bakau ini adalah sempena Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut 2024 bertempat di persisiran pantai Hutan Simpan Pulau Ketam, Kuala Perlis, Perlis.
Pemangku Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Alumni UniSIRAJ, Dr Mohd Aizul Yaakob berkata, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) penanaman pokok bakau ini diharap dapat membantu Jabatan Perhutanan negeri ini khususnya bagi mencegah hakisan pantai dan menjaga kesimbangan ekosistem di persisiran pantai.
MENYEMARAKKAN SEMANGAT KESUKARELAAN
“Program ini juga diharap dapat menyemarakkan semangat kesukarelaan dan memupuk semangat kerjasama yang sihat antara pelajar dan kakitangan UniSIRAJ,” katanya.
Beliau berkata, penyertaan pelajar dan kakitangan dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) Jabatan Pendaftar dalam program ini diharap dapat membantu Kempen Penanaman 100 Juta Pokok peringkat kebangsaan yang dilancarkan dengan sasaran untuk menanam pokok setiap tahun sehingga mencapai penanaman satu juta pokok menjelang 2025.
Hadir sama pada program ini Pengarah Perhutanan Negeri Perlis, Ag Shaffie Ag Ahmadni, Pendaftar UniSIRAJ, Noor Azman Yusof dan Pengarah JHEPA Mohd Hanif Mohammadan.
DIHARAP DAPAT DITERUSKAN
Program yang dianjurkan ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mencegah hakisan pantai.
Selain itu dengan penanaman pokok bakau ini bagi menjaga keseimbangan ekosistem di persisiran pantai.
Pokok bakau berperanan dalam membekalkan nutrient kepada tumbuhan dan menjadi sumber makanan kepada hidupan akuatik.
Ia penting kerana kawasan hutan bakau menjadi aset penting kepada nelayan yang bergantung kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan. – JM