Raja Muda Perlis terima mengadap kepimpinan tertinggi IKIM

Oleh: Sholina Osman
12 DIS. 2024

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima mengadap delegasi kepimpinan tertinggi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Galeri Diraja Arau.

Delegasi IKIM diketuai oleh Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty, disertai oleh Timbalan Pengerusi IKIM, Datuk Wan Mohamad Abd. Aziz; Ahli Lembaga Pengarah, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd Yusof Othman; dan Ketua Pengarah, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

BERKAITAN KERJASAMA STRATEGIK

Dalam sesi itu, beberapa perbincangan berkaitan kerjasama strategik antara IKIM dan agensi-agensi di Perlis telah dibincangkan, termasuk usaha memperkukuhkan kefahaman Islam dan meningkatkan kemajuan sosioekonomi di negeri ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut memberikan pandangan strategik bagi mempertingkatkan peranan IKIM di peringkat global.

Baginda menekankan kepentingan IKIM dalam memberikan ruang dan peluang kepada minoriti umat Islam di Asia Tenggara, khususnya melalui pendekatan diplomasi intelektual dan perkongsian ilmu.

MEMPERKUKUH KESATUAN UMMAH

Baginda percaya usaha sebegini mampu memperkukuhkan kesatuan ummah serta memperkenalkan wajah Islam yang sederhana dan harmoni kepada dunia.

Raja Muda menzahirkan sokongan baginda terhadap inisiatif-inisiatif yang dirancang dan berharap usaha tersebut akan menjadi pemangkin kepada peningkatan nilai spiritual dan sosial masyarakat di Perlis, selain mengangkat peranan IKIM sebagai institusi berwibawa di pentas antarabangsa.

Mohd Nazim pula menyatakan kesediaan pihak MAIPs untuk turut bekerjasama terutama dalam pelaksanaan program-program berimpak tinggi yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai Islam yang sederhana dan berpandukan wahyu yang sahih.

MEMBAWA MANFAAT BESAR

Beliau menegaskan bahawa sinergi bersama IKIM dapat membawa manfaat besar kepada rakyat Perlis melalui pendekatan Islam yang inklusif dan berteraskan nilai-nilai murni.

Antara kerjasama terdekat yang bakal dilaksanakan adalah penganjuran Program Jelajah Mahabbah oleh IKIM dengan kerjasama MAIPs.

Program ini akan melibatkan penyertaan pelbagai tokoh agama dari Perlis dan dirancang untuk memberi impak positif kepada masyarakat melalui siri wacana, ceramah, dan aktiviti memperkukuhkan kefahaman Islam dalam kalangan rakyat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *