KL Strike Force laksana lebih 1, 100 penguatkuasaan, 2, 200 tangkapan – Dr. Zaliha

Oleh: Sholina Osman
12 DIS. 2024

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, pasukan KL Strike Force telah berjaya menjalankan lebih 1, 100 tindakan penguatkuasaan dengan melibatkan lebih 2, 200 tangkapan sejak ditubuhkan pada 27 Mei 2024.

Beliau berkata, ia dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan, termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Zaliha berkata, pasukan KL Strike Force ini ditubuhkan selari dengan konsep Safe City setelah dipersetujunya sempena Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan pada 27 Mei 2024.

MENANGANI ISU-ISU

“Ia bertujuan untuk menangani isu-isu terkait keselamatan dan ketenteraman awam di Kuala Lumpur,” katanya ketika berucap pada Program Setahun Bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur.

Zaliha berkata, dari awal pengumuman sehingga sekarang, KL Strike Force telah pun menerima respon yang sangat positif dari citizen dan netizen.

“Jadi saya pasti kita sedang berada “on the right track” apabila ada yang maklum kepada saya, ini lah yang mereka inginkan dari dulu lagi,” katanya.

Tambahnya, usaha menjadikan bandar raya Kuala Lumpur yang merupakan ibu kota negara sebagai sebuah bandar yang selamat adalah menjadi keutamaan beliau.

JANGAN MACAM-MACAM

“Sebab itu, dalam Parlimen baru-baru ini saya sebut – “jangan macam-macam di Kuala Lumpur”,” katanya.

Berikutan itu, Zaliha berkata, aktiviti-aktiviti seperti persundalan, peniagaan tanpa permit, struktur-struktur haram tidak sepatutnya ada dan tindakan seperti ini tidak boleh mendapat tempat di Kuala Lumpur.

“Antara yang menjadi fokus utama saya dari awal dilantik adalah untuk meningkatkan semula ketampakan dan sosio ekonomi Labuan sebagai salah sebuah Wilayah Persekutuan serta penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang kedua tertinggi di Malaysia selepas Kuala Lumpur.

Zaliha berkata, limpahan ekonomi ini perlu dirasai oleh rakyat Labuan.

MENDENGAR SEMUA KELUHAN

Jelasnya, pada Lawatan kerja yang pertama ke Labuan pada 11 hingga 15 Januari 2024, telah diadakan program Temu Rapat Dr. Zaliha edisi Labuan, di mana beliau mendengar semua keluhan, cadangan dan kritikan daripada penduduk-penduduk Labuan sendiri.

“Hasil dari program tersebut, saya telah menubuhkan 3 task force, iaitu Task Force Pelancongan, Task Force Transhipment dan Bebas Cukai serta Task Force Jambatan Labuan-Menumbok,” katanya.

Zaliha berkata, walaupun ada sindiran-sindiran dari sesetengah pihak, beliau telah melihat ada perkembangan yang positif dari ketiga-tiga Task Force ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *