Oleh: Sholina Osman
8 DIS. 2024
Demi memastikan kemajuan berterusan agensi-agensi agama di negeri Perlis maka warganya mestilah sentiasa menjaga nama baik serta imej jabatan atau agensi dan tidak melakukan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang serta menekankan nilai integriti, profesionalisme, dan perkhidmatan yang cemerlang kepada ummah.
Jadilah contoh dan rujukan dalam kehebatan urus tadbir serta tatakelola, sama ada di peringkat tempatan atau global.
Mereka juga hendaklah bersatu padu mendokong hasrat MAIPs, khususnya dalam melaksanakan titah 7 Amanat DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dengan penuh komitmen dan kesungguhan.
MERASMIKAN MAJLIS PENUTUP
Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Penutup Sukan Antara Institusi Agama Negeri Perlis (SUKIPs) Tahun 2024’ yang diadakan di Guar Jentik, Beseri.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Antara sukan yang dipertandingkan sepanjang tahun ini adalah badminton, catur, tenpin bowling, bola tampar, sepak takraw, woodball, ping pong dan bola sepak 7 sebelah kesemuanya melibatkan 23 kategori pingat.
Manakala untuk majlis penutup pelbagai acara sukaneka diadakan termasuklah tangkap itik, penalti ‘back heel’ dan bowling nyiur.
PELBAGAI PROGRAM BERMANFAAT
Semoga usaha murni ini diberkati Allah SWT dan menjadi pemangkin kepada pelbagai program bermanfaat pada masa hadapan.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) muncul jusra keseluruhan pada kali ini manakala MAIPs memenangi Kejohanan woodball.
Untuk rekod, penganjuran SUKIPs bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara seluruh warga institusi agama di Perlis dan menjadi medan memperkukuhkan ukhuwah.
Acara ini juga menjadi platform untuk menyemai sinergi yang lebih erat antara institusi agama. – JM