Oleh: Sholina Osman
8 DIS. 2024
AKAR Academy Pusat Tahfiz yang beroperasi di bangunan milik Al Khaadem yang berusia 15 tahun di Shah Alam, Selangor memilih Universiti Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) untuk para pelajarnya melanjutkan pengajian.
Memorandum Persefahaman (MoU) antara AKAR Academy dan UniSIRAJ ini ditandatangani Rektornya, Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle dan Pengarah AKAR Academy, Nor Hafidzah Alias.
Nor Hafidzah dalam ucapan aluannya yakin dengan termeterainya MoU ini pastinya tercapai Pelan Induk Pembangunan Pelajar pusat ini untuk meneruskan agenda pembelajaran dari peringkat rendah, menengah dan seterusnya ke peringkat pengajian tinggi.
YAKIN DENGAN KEPIMPINAN
“Saya dan ibu bapa pelajar yakin dengan kepimpinan Rektor UniSIRAJ anak-anak dari pusat pengajian yang terdiri dari pelajar tempatan dan antarabangsa ini akan mencapai matlamat dan kecemerlangan di dunia dan akhirat,” katanya.
Sementara itu Rektor UniSIRAJ dalam ucapan berkata, dengan termeterainya MoU ini pastinya pelajar di sini akan memperoleh kecemerlangan dalam kerjaya mereka dan akan memberikan impak yang signifikan dalam agenda pembangunan pendidikan tinggi negara yang memfokuskan kepada bidang-bidang tujahan yang unik melalui penawaran program-program berteraskan Islam.
“Dengan MoU ini membuktikan universiti ini bukan sahaja menandatangani dengan MoU luar negara namun peluang juga diberikan kepada mana-mana sekolah atau pusat pengajian yang ingin menghantar pelajar ke UniSIRAJ,” kata beliau.
DILIHAT MEMPUNYAI POTENSI
UniSIRAJ bernaung sepenuhnya di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan merupakan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang dilihat mempunyai potensi untuk terus menguatkan lagi usaha-usaha bagi merealisasikan negeri Perlis sebagai sebuah hub pendidikan kondusif di utara tanah air.
Turut hadir di majlis ini ialah Datuk Dr Mohd Hussain Yee, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Global UniSIRAJ Prof Dr Asyraf Isyraqi Jamil, Ar Nazlan Baharudin dari Al Khadeem dan Pengarah Jabatan Canselori UniSIRAJ Muhammad Syazuwan Ahmad. – JM