Hubungan Perlis, 6 Wilayah Andaman, Thailand terus diperkukuh – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
7 DIS. 2024

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, hubungan baik di antara negeri Perlis dengan 6 Wilayah Andaman di Selatan Thailand yang telah lama terjalin menerusi aspek sejarah, budaya dan keagamaan perlu terus diperkukuhkan lagi dalam pelbagai aspek.

Baginda bertitah, dengan semangat persaudaraan dan keterbukaan, kita mampu memperluaskan jaringan kerjasama yang memberi manfaat bersama, bukan sahaja untuk negeri dan wilayah ini, tetapi juga untuk rakyat secara keseluruhannya.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat menghadiri Majlis Mengadap oleh Delegasi Majlis Agama Islam (MAI) 6 Wilayah Andaman Thailand Sempena Lawatan Kerja ke Negeri Perlis Tahun 2024 di Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Najmuddin Abd Karim dan Pengerusi MAI 6 Wilayah Andaman, Dr. Komon Doomluck yang juga merupakan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Phuket.

6 WILAYAH ANDAMAN

Program ini telah dianjurkan oleh JAIPs dengan kerjasama pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta 6 Wilayah Andaman iaitu Majlis Agama Islam dari wilayah-wilayah Phuket, Ranong, Phang Nga, Krabi, Trang dan Satun.

Baginda bertitah, lawatan kerja ke Perlis kali ini membawa aspirasi yang amat penting, iaitu merapatkan lagi ukhwah dan jalinan kerjasama seterusnya membuka peluang untuk meneroka kerjasama dalam bidang-bidang lain seperti pendidikan, ekonomi, dan juga pelancongan khususnya sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs yakin hubungan baik dua hala yang merentasi negara ini akan berterusan dan lebih banyak lagi kerjasama dapat dijalankan pada masa akan datang.

Untuk rekod, lawatan kerja ini merupakan hasil daripada beberapa pertemuan dan perbincangan antara kedua-dua pihak sebelum ini dengan tujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua pihak melalui pertukaran pengalaman, pendekatan dan pengurusan berkaitan dengan hal ehwal Agama Islam. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *