Idrus Harun dilantik Pengerusi MyCC baharu

Oleh: Sholina Osman
4 DIS. 2024

Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang baharu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelantikan ini berkuat kuasa mulai 25 November 2024 sehingga 24 November 2027, iaitu untuk tempoh tiga tahun.

“Pelantikan ini adalah bagi mengisi kekosongan setelah mantan pengerusi iaitu Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berkuatkuasa 3 Julai 2024,” katanya dalam kenyataan media.

PELBAGAI JAWATAN PENTING

Armizan memberitahu, Idrus memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya (UM) dan pernah menyandang pelbagai jawatan penting, termasuk sebagai Peguam Negara dengan rekod perkhidmatan selama lebih 40 tahun.

“Sepanjang kerjaya beliau, Idrus telah berkhidmat sebagai Pegawai Undang-Undang, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan. Beliau juga telah dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman pada 1 November 2024,” kata Armizan.

Beliau berkata, pelantikan ini dibuat di bawah seksyen 5(1)(a) Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 [Akta 713]. Berdasarkan pengalaman luas dan kepakaran yang dimiliki.

PEMERKASAAN PERANAN MyCC

Armizan yakin dengan pelantikan ini akan memastikan kesinambungan usaha pemerkasaan peranan MyCC sebagai salah satu agensi di bawah KPDN.

Selain itu, saya juga berharap beliau dapat membawa hasrat agenda reformasi Kerajaan melalui pindaan Akta Persaingan 2010 [Akta 712] untuk memperkasakan lagi kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC termasuk memperkenalkan rejim penggabungan dan pengambilalihan untuk menghalang pembentukan awal kartel atau monopoli yang bermasalah.

Armizan turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohd Hishamudin Md mantan Pengerusi MyCC atas segala jasa dan sumbangan beliau kepada MyCC dan negara sepanjang tempoh perkhidmatan beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *