Raja Muda Perlis lawat mangsa banjir di PPS SK Titi Tinggi

Oleh: Sholina Osman
28 NOV. 2024

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan berangkat menyantuni mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Tinggi, Padang Besar malam tadi.

Baginda merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah menyampaikan sumbangan bernilai RM1,000 bagi pembelian keperluan tambahan untuk para penghuni di PPS tersebut.

Keberangkatan Baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Ku Chik Ku Mat Isa, Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner, Baderulhisham Baharudin, serta Reswan Ramli yang mewakili Bahagian Pentadbiran Daerah j(BPD), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

Baginda diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Najmuddin Abdul Karim.

MENJAGA KESELAMATAN DIRI

Semasa bertitah, Baginda menasihati para penghuni PPS agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga sepanjang berada di pusat pemindahan tersebut.

Baginda turut mengingatkan agar mereka mematuhi segala arahan daripada petugas demi kelancaran pengurusan bencana.

Setakat ini, terdapat tiga PPS utama yang dibuka di negeri Perlis, iaitu di SK Arau, SK Guar Nangka, dan SK Titi Tinggi, bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir yang terjejas.

Lawatan ini mencerminkan keprihatinan Baginda terhadap rakyat jelata, sekali gus memberi semangat kepada mangsa bencana untuk terus tabah menghadapi cabaran ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *