Oleh: Sholina Osman
27 NOV. 2024
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya pihak sekolah bersedia menerima sebarang suntikan perubahan zaman iaitu Teknologi Maklumat dan Digital untuk kekal dikagumi dan memiliki identiti unggul di negeri Perlis.
Baginda menyeru agar para pendidik terus bekerjasama memastikan para pelajar kini berada pada landasan yang tepat demi melengkapkan diri dengan kepelbagaian ilmu yang relevan agar menjadi modal insan yang berdaya saing.
“Selain pelajar, guru-guru juga perlu diberikan pengiktirafan di mana hari ini mereka diraikan dengan penghargaan kerana telah bertungkus-lumus mencurahkan ilmu, keringat, bakti, mahupun wang ringgit kepada kemenjadian warga sekolah ini dalam mengharungi arus perubahan dalam dunia pendidikan kini,” titah Baginda.
HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Sheikh Ahmad, Arau yang berlangsung di Dewan Datuk Haji Wan Ahmad sekolah berkenaan.
Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi olsh Raja Puan Muda Perlis,Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri (Sektor Pembangunan Murid), Che Rasaidi Che Yob dan Pengetua sekolah, Adilah Muhamad Nor.
Adilah dalam ucapan aluannya menyatakan, SMK DatUK Sheikh Ahmad telah meraih pelbagai pencapaian yang membanggakan sama ada dalam bidang akademik dan ko-akademik termasuklah pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang lalu telah mencapai GPS sebanyak 3.23.
MEMPEROLEH SEMUA A
Lima pelajar sekolah ini telah berjaya memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran.
Sekolah ini juga berjaya meraih Naib Johan dalam Pertandingan Debat Generasi Madani Peringkat Negeri Perlis dan Johan dalam Pertandingan Pidato Aspirasi Generasi Madani peringkat negeri, Naib Johan dalam Pertandingan “Dare to Spell” Sekolah Menengah dan Johan Pertandingan “Poetry Competition” Sekolah Menengah peringkat negeri.
Selain itu mendapat Pingat Emas dalam Pertandingan Perlis International Invention & Innovation Pi-ENVEX 2024 peringkat negeri Perlis di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan meraih Silver Award dalam Pertandingan Inovasi di Universiti Telnologi MARA (UiTM) Merbok
MENDAPAT NAIB JOHAN
Bagi kategori kokurikulum pula, pasukan Woodball SMK Datuk Sheikh Ahmad kategori remaja perempuan bawah 21 tahun telah berjaya mendapat Naib Johan dan meraih Johan dalam Kejohanan Woodball peringkat kebangsaan di Pulau Pinang.
Juga mewakili Malaysia ke Beach World Cup di Korea Selatan dan menjadi johan bagi Kejohanan Boling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perlis (MSSPs) bawah 18 Lelaki dan Perempuan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra juga berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Datuk Wan Ahmad kepada Najihah Husna Abdul Wahid dan Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada Mok Qin Sheng serta Anugerah Terbaik SPM 2023 kepada 32 penerima, Anugerah Keterampilan kepada 4 penerima dan Anugerah Peningkatan Mata Pelajaran SPM 2023 kepada 4 orang guru.
ANUGERAH PENCAPAIAN TERBAIK
Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Pencapaian Terbaik Dalam Tingkatan, Anugerah Kepimpinan, Anugerah Pencapaian Peringkat Antarabangsa dan Penghargaan Sumbangan Agensi Luar kepada 41 orang penerima.
Raja Muda juga menzahirkan agar rentak kecemerlangan SMK Datuk Sheikh Amad ini diteruskan kerana para pelajar merupakan modal insan yang dipertanggungjawabkan untuk mencorakkan masa depan negeri dan negara pada suatu masa nanti. – JM