Selangor negeri pertama lancar dasar hadapi situasi menua

Oleh: Sholina Osman
27 NOV. 2024

Selangor menjadi negeri pertama melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor sebagai persediaan menghadapi situasi negeri menua apabila 8.1 peratus daripada penduduknya berumur 65 tahun ke atas.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, walaupun Selangor menduduki tangga ke-5 selepas Perak, Kedah, Sarawak, dan Perlis dari segi peratus masyarakat menua, dari segi jumlahnya, Selangor mempunyai angka yang paling tinggi memandangkan kepadatan penduduk dan populasi yang tinggi sebanyak 7.36 juta.

“Di Selangor, tiga daerah yang mempunyai peratus populasi paling tinggi warga emas iaitu Kuala Selangor, Sepang, dan Hulu Langat,” katanya dalam kenyataan media.

Amirudin berkata, pada tahun 2024, populasi kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah telah menurun kepada 22.2 peratus, manakala kadar populasi warga emas melebihi umur 60 tahun telah meningkat kepada 11.6 peratus.

Sehubungan itu, katanya, keadaan ini yang mendorong Kerajaan Negeri untuk merangka Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor dengan 5 teras.

ADVOKASI DAN PROMOSI

Beliau berkata, ia melibatkan
Advokasi dan Promosi;
Tatakelola dan Kawal Selia; Penjaga Terlatih dan Tenaga Kerja; Pelaburan dan Kerjasama serta Inovasi, Teknologi dan Data.

Jelasnya, dasar ini yang akan berlangsung sehingga tahun 2030 akan mengambil kira aspek penjagaan warga emas, aspek penjagaan kanak-kanak, orang kelainan upaya (OKU) serta pengukuhkan sokongan kepada komuniti penjaga yang formal dan tidak formal.

“Ditambah pula dengan perkembangan ekonomi negeri di mana sebahagian besar ibu dan bapa mempunyai pendidikan yang tinggi dan menceburi bidang-bidang profesional, solusi yang mampan bagi perkhidmatan penjagaan kanak-kanak amat diperlukan terutamanya kaedah yang tidak membebankan dari segi kos,” tambahnya.

MEMUDAHCARA PROSES LATIHAN

Beliau berkata, dasar ini akan merangkumi peranan agensi Kerajaan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar memudahcara proses latihan dan pengiktirafan penjaga yang tidak formal terutamanya mereka yang menjaga anak-anak ataupun warga emas.

Selain daripada pengukuhan Ekonomi Penjagaan melalui dasar ini katanya, Kerajaan Negeri juga akan mengadakan Selangor Care Economy Summit pada tahun hadapan bagi melibatkan pakar kanak-kanak, warga emas, nutrisi, serta pihak berkepentingan lain agar mereka yang terlibat dalam ekonomi penjagaan diiktiraf dengan peranan yang penting seperti gaji yang lebih berpatutan.

“Saya berharap Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor digerakkan sepenuhnya bagi memberikan kebaikan kepada warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya, komuniti penjaga serta rakyat Selangor secara keseluruhan,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *