Oleh: Sholina Osman
15 NOV. 2024
Perlis merupakan negeri yang amat menitik beratkan tentang khazanah ilmu, titah Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Sehubungan itu titah Baginda,
pelbagai program telah cuba dianjurkan bagi mengetengahkan khazanah ilmu kepada masyarakat seperti konvensyen, seminar, multaqa, wacana, diskusi ilmu dan seumpamanya.
“Program-program ilmiah yang dianjurkan setakat ini telah berjaya menarik minat para pencinta ilmu sama ada dari dalam mahupun luar Malaysia untuk hadir berkampung ke negeri ini,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan perasmian Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) Kali Ke-2 2024 bertemakan “Imbangan Antara Adat dan Agama” di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), Persiaran Wawsan, Kangar, Perlis.
SELAMA TIGA HARI
Persidangan ini berlangsung selama tiga hari, bermula 13 hingga 15 November 2024 ini
anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Sebanyak 30 peserta hadir pada persidangan kali ini yang mewakili beberapa negara di rantau Nusantara, iaitu Indonesia, Vietnam, Kemboja, Thailand dan Brunei.
Tuanku Syed Faizuddin Puta percaya dengan tema kali ini adalah sesuatu yang amat penting untuk dibahaskan dalam kita mengimbangi antara prinsip agama dan adat budaya yang terdapat dalam masyarakat pada hari ini.
Baginda berharap, melalui keputusan yang dihasilkan melalui persidangan ini diharapkan mampu memberikan gambaran kedudukan budaya mengikut garis panduan Islam.
“Beta yakin dan percaya agama Islam yang mulia ini tidak sama sekali menolak unsur-unsur adat dan kebudayaan selagi mana ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang murni ini,” titah Baginda. – JM