Oleh: Sholina Osman
13 NOV. 2024
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Termez State University (TerSU) dari Uzbekistan di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, Arau, Perlis.
Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli mewakili UniMAP.
Sementara itu bagi pihak TerSU pula ditandatangani oleh Rektornya, Prof. Tashkulov Abdukodir Khamidovich.
Turut hadir ialah Timbalan Rektor (Hubungan Antarabangsa) TerSU, Gafur Togaev.
DISAKSIKAN RAJA MUDA
Pemeteraian bersejarah ini disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor UniMAP.
Kerjasama antara UniMAP dan TerSU ini melibatkan projek yang bertajuk “Visible Light Communication (VLC) With Adaptive Encoder Decoder (ADE) – OCDMA Model” yang diketuai oleh Dr. Norizan Mohamed Nawawi dari Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Elektronik (FKTEN), UniMAP serta Prof. Dr. Normurodov Chori dari TerSU.
Teknologi Perhubungan Cahaya Terlihat (VLC) menggunakan cahaya untuk pemindahan data tanpa wayar dan menghadapi cabaran dalam menguruskan banyak pengguna sekaligus, terutamanya dalam persekitaran dengan banyak sumber cahaya.
SATU SUMBER CAHAYA
Teknik-teknik maju seperti Non-Orthogonal Multiple Access (NOMA) membolehkan pelbagai penggunaan menyambung ke satu sumber cahaya dengan lebih cekap, meningkatkan kadar data dan mengurangkan kesilapan berbanding kaedah lama.
Objektif projek ini adalah bagi membentuk Encoder Decoder baharu untuk rangkaian Perhubungan Cahaya Terlihat dan menganalisis sistem ini untuk peningkatan kadar data sehingga 10Gbps. – JM