Kampung Pertanian di Kulai, dipilih sebagai kampung Santuni MADANI

Oleh: Sholina Osman
7 OKT. 2024

Kampung Pertanian di Kulai, Johor telah dipilih sebagai kampung Santuni MADANI, kata
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Dr Zaliha berkata, ia akan
dikendali oleh beliau sendiri selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dengan memberi tumpuan kepada pembangunan sosio ekonomi dan sektor pelancongan.

“Santuni MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri ini untuk memperkukuh hubungan antara pemimpin dan komuniti setempat serta menangani isu-isu di kampung dengan lebih proaktif dan efisien,” katanya dalam kenyataan media.

Berikutan itu katanya, satu mesyuarat yang melibatkan Pegawai Daerah Kulai, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai, penghulu, wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta wakil Pejabat Ahli Parlimen Kulai telah
diadakan.

FOKUS UTAMA MESYUARAT

Dr Zaliha berkata, antara fokus utama mesyuarat ini ialah kerjasama strategik di antara Perbadanan Putrajaya dan Kampung Pertanian untuk melaksanakan inisiatif Waste to Wealth dan Kebun Komuniti, yang merupakan salah satu cetusan idea beliau yang telah mula dilaksanakan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

Selain itu, katanya, cadangan Perbadanan Putrajaya untuk pengindahan tebing Sungai Skudai sebagai salah satu projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) turut dibincangkan.

“Projek ini melibatkan pembinaan laluan pejalan kaki dan kawasan rekreasi yang bertujuan menggalakkan aktiviti riadah serta menarik lebih ramai pelancong,” katanya.

Dr Zaliha berkata, langkah ini bertujuan untuk menjadikan Kampung Pertanian sebagai destinasi pelancongan domestik yang bukan sahaja dijangka meningkatkan ekonomi setempat, bahkan juga menawarkan pengalaman unik dengan mengekalkan konsep kampung dalam bandar.

MEMBERIKAN IMPAK LANGSUNG

Tambahnya, projek-projek ini dijangka memberikan impak langsung kepada penduduk Kampung Pertanian melalui penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan isi rumah, dan penglibatan dalam aktiviti ekonomi baharu seperti agropelancongan dan perusahaan kecil.

Katanya, kerjasama erat dengan Pejabat Daerah Kulai dan Majlis Perbandaran Kulai dijangka akan mempercepat pelaksanaan cadangan ini secara berperingkat bermula November 2024.

“Pembangunan ini bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi setempat, tetapi juga melibatkan komuniti dalam merangka dan melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat jangka panjang kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi mereka,” kata beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *