Oleh: Sholina Osman
6 SEPT. 2024
Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) akan menjalankan siasatan berhubung insiden keselamatan siber ke atas infrastruktur teknologi maklumat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) baru-baru ini.
Kenyataan media oleh Kementerian Digital menyebut, dengan siasatan ini bagi menentukan jenis pelanggaran dan mengenal pasti jenis data yang terlibat.
“Pejabat Pesuruhjaya PDP juga akan menyiasat sekiranya berlaku sebarang pelanggaran peruntukan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709], serta tindakan susulan yang perlu diambil,” katanya.
CyberSecurity Malaysia, salah satu agensi di bawah Kementerian Digital, turut memberikan bantuan teknikal dalam proses penyiasatan ini.
Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dalam kenyataan sama berkata, adalah amat penting untuk undang-undang bertindak mengikut haluannya apabila Pejabat Pesuruhjaya PPD menerima notifikasi mengenai pelanggaran data.
KEPENTINGAN DATA PERIBADI
“Kita mempunyai undang-undang yang menekankan agar kepentingan data peribadi dilindungi dan perlu bertegas mengenai perkara ini,” katanya.
Pesuruhjaya akan mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan siasatan terperinci dijalankan, dan memastikan tindakan susulan diambil berdasarkan hasil siasatan, tambahnya lagi.
Kementerian Digital memandang serius insiden keselamatan siber ke atas infrastruktur teknologi maklumat Prasarana yang melibatkan serangan perisian tebusan (ransomware) yang dimuat naik oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai
RansomHub dalam laman web gelap pada 25 Ogos 2024.
Pejabat Pesuruhjaya PDP telah dimaklumkan mengenai insiden siber Prasarana pada 26 Ogos 2024.
Juga telah dikeluarkan arahan kepada pihak Prasarana untuk menghantar pelaporan Pemberitahuan Pelanggaran Data (Data Breach Notification – DBN) selewat-lewatnya pada 29 Ogos 2024, di mana pihak Prasarana telah melakukan sedemikian. -JM