Oleh: Sholina Osman
26 OGOS 2024
Nilai eksport durian diunjur akan terus meningkat kepada RM1.8 bilion menjelang 2030.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan media menyebut, prestasi eksport durian negara dalam tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2022 adalah menggalakkan dengan nilai eksport durian ke luar negara telah berkembang sebanyak 256.3 peratus atau peningkatan sebanyak RM822.8 juta.
Pada tahun 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai sebanyak RM1.14 bilion iaitu nilai tertinggi dalam sejarah sehingga kini.
Secara keseluruhan, durian merupakan penyumbang utama (58.6 peratus) kepada nilai eksport buah-buahan negara pada tahun 2022 daripada keseluruhan nilai eksport buah-buahan bernilai RM2.01 bilion.
Negara China merupakan pasaran eksport utama buah durian dari Malaysia dengan nilai eksport sebanyak RM887 juta pada tahun 2022 yang juga merupakan nilai tertinggi dalam sejarah pengeksportan durian ke China.
PENGHANTARAN DURIAN SEGAR
Sementara itu, penghantaran durian segar pertama Malaysia ke China telah tiba di Lapangan Terbang Kargo Zhengthou pada 25 Ogos 2024.
Pengeksportan pertama durian segar ini adalah hasil daripada Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar Dari Malaysia ke Republik Rakyat China yang dimeterai oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bersama Menteri General Administration of Customs of The People’s Republic of China (GACC) pada 19 Jun 2024.
Akses pasaran ini adalah perkembangan positif yang akan menyumbang kepada peningkatan nilai eksport sektor durian ke negara China di mana sebelum ini hanya durian dalam bentuk sejuk beku sahaja yang dibenarkan.
Tambahan akses durian segar ini akan memberi peluang kepada usahawan durian tempatan untuk dimanfaatkan sepenuhnya bagi meneroka pasaran di China seterusnya meningkatkan pendapatan mereka.
Fasa pertama penghantaran adalah berjumlah 40 tan metrik (mt) durian pelbagai jenis seperti Musang King, D24 dan Black Thorn dengan melibatkan lapan syarikat durian di Malaysia.
Pada hari ini (25 Ogos 2024), 15 mt durian telah tiba dan penghantaran seterusnya sebanyak 15 mt ke Zhengzhou dan 10 mt ke Shenzen tiba pada 26 Ogos 2024.
Penerimaan buah durian segar melalui udara pertama ke China hari ini telah disempurnakan oleh Mohamad bersama-sama Executive Vice Governor Wilayah Hanan, Sun Shougang dan Pengurus Besar Zhongyu Aviation Group di Lapangan Terbang Kargo Zhengzhou.
Ia turut dihadiri oleh wakil-wakil syarikat pengeksport dari Malaysia dan syarikat pengimport dari China.
Untuk makluman, durian segar ini akan terus diedarkan oleh 10 syarikat pengimport menerusi outlet-outlet peruncitan mereka di enam wilayah iaitu Beijing, Zhengzhou, Shanghai, Guangtou, Shenzhen dan Nanning. – JM