Oleh: Sholina Osman
27 OGOS 2024
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur segera bekerjasama rapat dengan ahli geologi dan pakar infrastruktur untuk menilai serta mengurangkan sebarang risiko insiden seperti ini pada masa akan datang.
Dr Zaliha berkata, malah dari semasa ke semasa beliau akan berkomunikasi dengan Datuk Bandar untuk mengenal pasti tindakan segera yang boleh dilaksanakan dan strategi jangka panjang, selain tidak menolak kemungkinan untuk mengkaji semula dasar perancangan bandar di Kuala Lumpur agar risiko insiden dapat dikurangkan dengan lebih berkesan.
“Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga akan memperkukuhkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pembangunan dengan memastikan kajian geoteknik oleh jurutera bertauliah dikemukakan di peringkat lebih awal iaitu di peringkat permohonan kelulusan perancangan,” katanya dalam kenyataan media.
Dr. Zaliha juga menyarankan agar mana-mana pihak tidak perlu menangguk di air kerana
tiada keperluan untuk mencari publisiti murahan atau mempolitikkan isu ini.
Beliau berkata, fokus sekarang adalah untuk mencari penyelesaian yang konstruktif demi keselamatan dan kesejahteraan semua.
KEPERIHATINAN SEMUA PIHAK
“Saya menghargai keprihatinan semua pihak terkait isu tanah mendap di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.
Tambahnya, adalah penting untuk isu ini ditangani dengan fakta dan tindakan yang berasas, bukan hanya retorik dan tindakan yang boleh menyebabkan keresahan rakyat.
“Untuk makluman, saya sedang berkomunikasi secara dekat dengan Duta Besar India ke Malaysia, B.N. Reddy dalam memberi perkembangan dari semasa ke semasa berhubung operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masih dijalankan,” ujarnya lagi.
Dr Zaliha berkata, semua pihak perlu kekal tenang.
Katanya, keutamaan sekarang ini adalah keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga Kuala Lumpur.
“Saya juga komited untuk menangani isu ini secara lebih serius,” tegas Dr Zaliha.
Beritahunya, beberapa insiden yang berlaku di Kuala Lumpur sejak akhir-akhir ini merupakan satu ruang untuk semua pihak, termasuk DBKL untuk meneliti dan menambahbaik kaedah pemantauan dan tindak balas kepada insiden seperti ini. – JM