KPDN serbu setor haram bongkar sindiket seleweng minyak masak

Oleh: Sholina Osman
9 OGOS 2024

Beli minyak masak bersubsidi paket 1 kilogram (kg), dipotong untuk dikumpul dalam tangki silinder sebelum dibotolkan bagi jualan di pasaran mengikut harga minyak masak bukan bersubsidi.

Ia beroperasi dalam sebuah setor haram tanpa lesen sah untuk menyimpan barang kawalan.

Taktik sindiket menyeleweng minyak masak bersubsidi ini bagaimanapun telah berjaya dibongkar oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketua Pengarah Penguat Kuasanya, Datuk Azman Adam berkata, semua ini dikesan ekoran serbuan ke atas sebuah premis tanpa nama di Jeram, Selangor pada 6 Ogos 2024.

ANGGOTA PENGUAT KUASA

“Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Selangor dengan kerjasama Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang bermula kira-kira pukul 2.30 petang itu adalah hasil risikan yang telah
dilakukan oleh pihak KPDN beberapa hari sebelum operasi dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan media.

Azman berkata, kesemua minyak masak paket 1kg bersubsidi dianggarkan hampir 10,015kg serta beberapa peralatan yang digunakan seperti gunting, pam penyedut minyak, hos getah dan beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM64,567.50.

Beliau berkata, seorang lelaki, warga tempatan yang dipercayai bekerja sebagai pemandu lori berkenaan, berumur lingkungan 50-an telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu/syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak masak tersebut,” katanya.

Selain itu, premis terbabit juga telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Perintah-Perintah Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dan menjual secara borong atau runcit apa-apa barang kawalan berjadual tanpa lesen.

MEMBERI AMARAN KERAS

KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. Mana- mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).

Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak masak.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:
i. WhatsApp 019-279 4317/019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;
iii. Call Centre 1-800-886-800; dan
iv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *