Oleh: Sholina Osman
13 JULAI 2024
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) ke atas 1,060,250 orang termasuk 23,354 orang di Perlis pada tahun 2023.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata,
NHSI amatlah penting untuk menyaring dan mengesan penyakit terutamanya penyakit tidak berjangkit (NCD).
Beliau berkata, ia supaya intervensi awal dapat dibuat untuk mengawal malah mencegah penyakit dan komplikasinya.
“Saringan adalah antara senjata ampuh di barisan hadapan untuk mempromosi kesihatan awam, terutamanya daripada ancaman penyakit kronik,” katanya.
KLINIK KESIHATAN BAHARU
Beliau berucap demikian sempena perasmian Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), Karnival Kesihatan Sihat Milik Semua Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perlis serta Penyempurnaan Perasmian Tiga Klinik Kesihatan Baharu Negeri Perlis Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-81 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kangar, Perlis.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melakukan perasmian.
Berkenan hadir Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dr Dzulkefly berkata, masalah kesihatan bukan sahaja membebankan individu, malah juga masyarakat dan negara.
Beliau berkata, ini kerana kos rawatan penyakit kronik amatlah tinggi.
“Produktiviti pekerja yang sakit dalam ekonomi secara umumnya juga akan merosot,” katanya.
Justeru itu katanya, sebuah anjakan yang besar amat diperlukan untuk menangani situasi semasa. – JM