Oleh: Sholina Osman
5 JULAI 2024
Program Kembara Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) pada 2 hingga 5 Julai 2024 diharap dapat meyakinkan sekurang-kurangnya 500 peniaga kecil di semua daerah terlibat untuk lebih celik digital.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan media berkata, program yang menerapkan konsep advokasi dan onboarding secara berkumpulan dan lebih intensif ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai peniaga kecil beralih kepada sistem pembayaran tanpa tunai dalam operasi perniagaan.
“Program ini bermula dari Putrajaya, Pahang (Raub dan Kuala Lipis), Kelantan (Gua Musang dan Kuala Krai) dan Terengganu (Kuala Besut dan Jerteh), katanya.
Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.
Beliau berkata, KPDN menyahut hasrat kerajaan untuk menggalakkan digitalisasi menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang telah dilancarkan pada 19 Februari 2021.
PROGRAM ONBOARDING PEMBAYARAN
Ia bertujuan untuk mempromosikan program onboarding pembayaran elektronik bagi peniaga dan pengguna untuk menjadi masyarakat tanpa tunai.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha KPDN untuk mencapai sebanyak 15,000 peniaga berdaftar e-wallet sehingga tahun 2025 menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) katanya.
Beliau berkata, pada tahun ini, Maybank, Agro Bank dan Touch n Go selaku rakan strategik KPDN turut sama menyertai dalam kembara ini.
Penganjuran program Kembara ReDI 2024 ini merupakan satu langkah proaktif KPDN dalam usaha memberi pendedahan kepada peniaga luar bandar berhubung pengoperasian perniagaan berkonsepkan digital terutamanya melalui penggunaan kemudahan e-wallet dalam urusan transaksi pembelian dan juga mewujudkan ekosistem masyarakat tanpa tunai (cashless society) di seluruh negara khususnya kawasan luar bandar. – JM