Capaian liputan 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negara cecah 81.7% – Fahmi

Oleh: Sholina Osman
5 JULAI 2024

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, capaian liputan 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negara telah mencecah 81.7 peratus sehingga 31 Mei 2024.

Beliau berkata, jumlah langganan 5G di Malaysia bagi tempoh yang sama juga telah mencapai sebanyak 14.1 juta langganan.

“Kerajaan mengharapkan lebih banyak perkongsian serupa dalam kalangan pemain industri yang berkaitan untuk terus bekerjasama bagi mempercepat lagi pembangunan 5G di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di The St. Regis Kuala Lumpur.

Hadir sama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

MEMPERKASA TEKNOLOGI 5G

Fahmi berkata, pemeteraian MoU antara MCMC dengan MIDA merupakan langkah signifikan ke arah memperkasakan teknologi 5G, bertujuan untuk memacu industri Malaysia ke arah kemajuan teknologi, kelestarian dan integrasi yang lebih besar dalam rangkaian nilai global.

“Ini sekali gus menyokong misi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) yang menggariskan empat misi merangkumi memajukan kompleksiti ekonomi, mempercepat pendigitalan, mendorong pelepasan karbon sifar bersih serta menjamin sekuriti ekonomi dan keterangkuman,” katanya.

Beliau berkata, MoU ini turut menggariskan hasrat untuk memberikan akses kepada teknologi dan infrastruktur 5G bagi sektor berkenaan yang menuju ke arah pendigitalan.

MENYEDIAKAN SOKONGAN TEKNIKAL

Katanya, pihak MCMC akan menyediakan sokongan teknikal dan latihan bagi persediaan menuju integrasi 5G, di samping menekankan kepentingan untuk memanfaatkan kemajuan teknologi 5G kepada industri yang terbabit.

Beliau berkata, sumbangan 5G kepada ekonomi negara dijangka akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan mewujudkan perkhidmatan dan industri baharu, mencipta model perniagaan baharu, serta meningkatkan produktiviti dan kecekapannya merentasi pelbagai titik sentuh berlainan.

Fahmi berharap dengan termeterainya MoU ini akan membuka lembaran baharu kepada sektor vertikal dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini agar lebih berdaya saing serta meningkatkan produktiviti dalam menguruskan perniagaan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *